Muda bukan parti individu, kata pemangku presiden


Diyana Ibrahim

Muda tidak bergantung pada Syed Saddiq Syed Abdul Rahman sebaliknya ia parti yang lebih besar daripada hanya seorang individu, kata pemangku presidennya Amirah Aisya Abd Aziz. – Gambar fail The Malaysian Insight, 20 November, 2023.

MUDA tidak bergantung pada Syed Saddiq Syed Abdul Rahman sebaliknya ia sebuah parti politik yang lebih besar daripada hanya seorang individu, kata pemangku presidennya Amirah Aisya Abd Aziz.

Katanya, Muda sebenarnya mempunyai ramai barisan kepimpinan yang berkebolehan yang menaikkan parti ini, selepas Syed Saddiq meletakkan jawatan susulan sabitan kes jenayah terhadapnya baru-baru ini.

“Muda bukan gerakan individu sahaja tapi gerakan ideologi gerakan, gerakan polisi dan gerakan membawa semangat dan suara anak muda di Malaysia yang terdiri daripada pelbagai kaum, agama dan bangsa.

“Bagi kita Muda lebih besar dari hanya seorang individu,” katanya pada sidang media Muda di Petaling Jaya, hari ini.

 Amira menjawab pertanyaan mengenai nasib Muda selepas Syed Saddiq berundur.

Sidang media diadakan untuk mengumumkan pelan 100 hari pertama Amira sebagai pemangku presiden Muda, antaranya mengadakan pertemuan dengan pimpinan dan ahli Muda di peringkat negeri, yang bermula di Johor minggu lepas.

Beliau mengumumkan siri jelajah seterusnya di Sabah dan Sarawak pada awal Disember.

Dalam pada itu, Amira berkata Muda akan segera mengadakan pemilihan parti pada tahun depan untuk mendapatkan mandat baharu daripada ahli demi kemajuan parti.

“Muda akan buat pemilihan parti tahun depan kalau. Kita akan segerakan.

“Kalau ikut Akta Pertubuhan 1996 Muda punya kuasa panjang dalam pemilihan parti sehingga tahun 2025. Tetapi melihat keadaan semasa saya percaya kita kena adakan pada 2024 untuk membuka lembaran baru.

“Pemilihan parti akan menunjukkan kematangan muda dalam sistem politik berorganisasi,” katanya.

Sementara itu, Amira juga berkata dalam 100 hari pertama beliau sebagai pemangku presiden, Muda akan mengadakan pertemuan rasmi dengan rakan politiknya di rantau Asia Tenggara antaranya Parti Pergerakan Maju di Thailand dan Parti Solidariti Indonesia (PSI).

Pada 9 November, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur mendapati Syed Saddiq bersalah atas empat pertuduhan pecah amanah, salah guna harta dan pengubahan wang haram melibatkan dana sayap pemuda Bersatu yang pernah diketuainya dulu.

Hakim Azhar Abdul Hamid menjatuhkan hukuman penjara tujuh tahun, dua sebatan dan denda RM10 juta, yang kesemuannya ditangguhkan sementara rayuan. – 20 November, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen