PERTUBUHAN Islam terkemuka di India membangkitkan risiko eksport oleh syarikat negara ini andai piawaian halal yang sepatutnya tidak dikekalkan susulan pengharaman produk halal oleh negeri Uttar Pradesh.
Permintaan global untuk produk diperakui halal adalah sangat luas dan oleh itu mustahak bagi syarikat India untuk mendapatkan pensijilan demikian untuk mengeksport barangan mereka ke negara Islam, menurut Halal Trust Jamiat Ulama-i-Hind dalam satu kenyataan.
Pensijilan itu bukan sahaja disyaratkan oleh banyak negara pengimport bahkan juga membantu pelancong yang melawat India untuk memilih produk.
Propaganda terhadap pengesahan halal mungkin secara langsung merosakkan kepentingan nasional negara memandangkan India mendapat manfaat daripada eksport halal dan pelancongan dalam hubungannya dengan ahli Pertubuhan Kerjasama Islam dan kawasan seperti Asia Tenggara,
Uttar Pradesh, negeri paling ramai penduduk di India yang diperintah oleh nasionalis Hindu Bharatiya Janata Party pada Sabtu mengharamkan pengeluaran, penyimpanan, pengedaran dan penjualan produk dengan pensijilan halal berkuat kuasa serta-merta.
Bagaimanapun larangan itu mengecualikan produk untuk eksport.
Larangan itu dibuat susulan aduan oleh seorang lelaki tempatan yang mendakwa pensijilan halal yang digunakan oleh sesetengah syarikat untuk meningkatkan jualan, sebagai tidak adil dan mengelirukan.
Syarikat makanan dan produk pengguna India memperoleh pensijilan halal untuk menjual barangan mereka kepada negara Islam dan kontroversi politik boleh menjejaskan kepercayaan terhadap barangan India.
“Ini adalah keputusan yang pelik. Ia menunjukkan piawaian halal di India boleh berbeza untuk pasaran domestik dan pasaran eksport
“Propaganda menentang halal didorong oleh politik dan kaum. Ia akan menghakis kepercayaan terhadap syarikat India yang menggunakan label halal untuk mengeksport kosmetik, daging, ayam dan barangan makanan,” kata Presiden Majlis Halal India, Mufti Habib Yusuf Patel kepada Bernama.
Beliau berkata sebilangan besar syarikat bukan Islam mendapatkan nasihat daripada organisasi itu mengenai piawaian Syariah kerana mahu menarik pelanggan Islam.
“Kami menasihati mereka mengenai halal dan larangan dan bagaimana mereka boleh menjadikan produk mereka sesuai untuk pengguna Islam dengan mematuhi peraturan tertentu bagi membantu mengembangkan perniagaan,” kata Habib.
Kira-kira 20 peratus daripada 240 juta penduduk Uttar Pradesh beragama Islam manakala penduduk Islam di India melebihi 200 juta.
Jamiat Ulama-i-Hind berkata dakwaan yang ditimbulkan terhadap pensijilan halal adalah tidak berasas dan merupakan percubaan untuk menyebarkan maklumat yang salah.
Beberapa orang mengulas di media sosial menunjukkan bahawa India adalah pengeksport utama daging kerbau yang dihasilkan dalam kilang yang disahkan halal.
Ketua Majlis Halal itu berkata pengguna bebas membuat keputusan sama ada mereka mahu membeli produk berlabel halal atau tidak.
“Orang ramai mesti mempunyai kebebasan untuk memilih produk mereka. Contohnya, beberapa syarikat bakeri melabelkan produk mereka sebagai bebas telur kerana sesetengah orang di India tidak makan telur. Begitu juga, syarikat melabelkan produk mereka sebagai sesuai untuk pengguna vegetarian dan bukan vegetarian.
“India wajar melihat Malaysia, dengan perdagangan halal berkembang maju kerana standard pensijilannya yang tinggi,” kata Habib. – Bernama, 20 November, 2023.
Komen