SEORANG pegawai kesihatan tertinggi di Semenanjung Gaza yang dikendalikan Hamas berkata, semua 31 bayi pramatang di Hospital Al-Shifa dipindahkan hari ini dari kemudahan yang disifatkan Pertubuhan kesihatan Sedua (WHO) sebagai “zon maut”.
Langkah itu disahkan Persatuan Bulan Sabit Merah Palestin (PCRS), yang memaklumkan pasukannya menjalankan pemindahan dengan penyelarasan bersama agensi PBB termasuk WHO.
Ketua Pengarah Hospital di Gaza Mohammed Zaqut memberitahu AFP “semua 31 bayi pramatang di Hospital Al-Shifa… sudah dipindahkan” bersama tiga doktor dan dua jururawat.
Katanya, “persiapan sedang dijalankan” untuk mereka masuk ke Mesir.
Hospital Al-Shifa menjadi pusat tumpuan bagi operasi Israel dengan tentera mendakwa Hamas menggunakannya sebagai pangkalan ketika tentera berusaha untuk menghapuskan pejuang Hamas di sebalik serangan sejak 7 Oktober yang mengorbankan 1,200 orang, kebanyakannya orang awam.
Sejak itu, pihak berkuasa kesihatan Hamas berkata kempen ketenteraan Israel membunuh lebih 12,300 orang, kebanyakannya orang awam.
PCRS mengesahkan pasukannya “berjaya memindahkan… 31 bayi pramatang dari Al-Shifa” dalam satu kenyataan, mereka “dibawa oleh ambulans PRCS ke selatan”.
WHO dalam pengumuman semalam berkata pertubuhan menghantar pasukan penilaian ke hospital itu dan menyifatkannya sebagai “zon maut”, mengatakan ia “terus membangunkan rancangan untuk pemindahan segera pesakit, kakitangan dan keluarga mereka yang masih tinggal”.
Kunjungan itu dibuat selepas ratusan orang melarikan diri dari hospital terbesar di Gaza itu, berikutan apa yang dikatakan pengarah Al-Shifa sebagai arahan tentera Israel supaya ia dikosongkan.
Bagaimanapun Israel menafikan perkara itu.
Seorang wartawan AFP di tempat kejadian melihat orang ramai yang sakit, cedera dan terlantar berjalan ke arah pinggir laut, dengan Kementerian Kesihatan berkata 120 pesakit kekal di hospital, antaranya beberapa bayi pramatang.
“Ramai pesakit tidak boleh meninggalkan hospital kerana mereka berada di katil unit rawatan rapi (ICU) atau inkubator bayi,” kata doktor di hospital itu, Ahmed al-Mokhallalati dalam satu ciapan di platform X semalam.
Susulan kunjungan ke Al-Shifa, WHO berkata 291 pesakit dan 25 pengamal perubatan masih berada di hospital, berdasarkan angka yang dikeluarkan beberapa jam sebelum bayi itu dipindahkan. – AFP, 19 November, 2023.
Komen