SEORANG lelaki yang menjadi buruan diekstradisi dari Maghribi ke China, kes pertama sejak perjanjian ekstradisi antara kedua-dua negara berkuat kuasa pada 2021, lapor Xinhua memetik Kementerian Keselamatan Awam.
Suspek itu yang didakwa menggelapkan berjuta-juta yuan daripada sebuah syarikat semasa berkhidmat sebagai eksekutif kewangan dan melarikan diri ke Maghribi, menurut kementerian itu.
Pada Februari 2020, polis China memfailkan kes untuk siasatan dan pada Julai 2022, Notis Merah Interpol telah dikeluarkan.
Polis Maghribi menahan lelaki itu pada April lepas dan mahkamah membenarkan ekstradisinya pada akhir Oktober.
Seorang pegawai kementerian berkata kejayaan ekstradisi itu penting dalam usaha negara itu untuk meningkatkan penguatkuasaan undang-undang dan kerjasama kehakiman antara China dan Maghribi, selain mengukuhkan kerjasama antarabangsa dan menangkap suspek jenayah di luar negara.
Kes itu adalah sebahagian daripada usaha China sejak bertahun-tahun untuk menangkap suspek yang yang melarikan diri ke luar negara.
China melancarkan operasi “Fox Hunt” pada 2014 dan dalam operasi ‘Fox Hunt 202]’, polis China menahan lebih 700 suspek di luar negara yang terlibat dalam pelbagai bentuk jenayah ekonomi. – Bernama, 19 November, 2023.
Komen