Jangan taksub sistem ranking, kata Khaled Nordin


Menteri Pendidikan Tinggi Mohamed Khaled Nordin mengingatkan institusi pengajian tinggi di negara ini supaya tidak terlalu taksub kepada sistem ranking atau penarafan kedudukan universiti. – Gambar fail The Malaysian Insight, 19 November, 2023.

MENTERI Pendidikan Tinggi Mohamed Khaled Nordin mengingatkan institusi pengajian tinggi di negara ini supaya tidak terlalu taksub kepada sistem ranking atau penarafan kedudukan universiti.

Beliau berkata sudah banyak penulisan dikeluarkan mengenai sistem ranking malah badan antarabangsa termasuk Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu (Unesco) turut melahirkan kebimbangan supaya sistem tidak diterima bulat-bulat.

“Tidak boleh mengukur secara umum semua universiti kerana setiap universiti diwujudkan untuk matlamat berbeza. Ukuran yang digunakan itu mungkin sesuai untuk negara-negara maju (tetapi) tak sesuai untuk di kebanyakan negara lain.

“Jadi ranking hanya boleh digunakan untuk lihat mungkin kedudukan, tetapi bukannya dijadikan sebagai asas sesebuah universiti itu cemerlang, baik ataupun tidak,” katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Sambutan 40 Tahun Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) di Dewan Utama, Kampus Kesihatan USM, Kubang Kerian di Kota Bharu hari ini.

Turut hadir Pengarah HUSM Profesor Dr Nik Hisamuddin Nik Ab Rahman dan Pengerusi Lembaga Gabenor USM Dr Awang Adek Hussin.

HUSM yang beroperasi sejak tahun 1983 sehingga kini melahirkan lebih 2,000 orang pakar perubatan rentas bidang dengan melalui pelbagai evolusi dalam melaksanakan fungsinya sebagai sebuah Hospital Pengajar Universiti (HPU) dan menawarkan perkhidmatan kesihatan kepada masyarakat.

Terdahulu dalam ucapannya Mohamed Khaled meminta semua HPU dalam sistem pendidikan tinggi untuk bekerjasama serta berkongsi sumber, kepakaran serta bergerak secara strategik. – Bernama, 19 November, 2023.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen