Proses susulan bawa keluar mangsa sindiket tipu kerja di percepat, kata timbalan menteri


Proses susulan untuk membantu membawa keluar rakyat Malaysia yang menjadi mangsa sindiket penipuan pekerjaan di Myanmar akan dipercepatkan, kata Timbalan Menteri Luar Mohamad Alamin. – Gambar fail The Malaysian Insight, 19 November, 2023.

TIMBALAN Menteri Luar Mohamad Alamin berkata pihaknya akan mempercepat proses susulan untuk membantu membawa keluar rakyat Malaysia yang menjadi mangsa sindiket penipuan pekerjaan di Myanmar.

Beliau berkata pihaknya akan melaksanakan beberapa tindakan susulan bagi memastikan proses membawa keluar mangsa dapat dilakukan dengan lebih mantap.

“Bagi pihak Wisma Putra, kita amat gembira apabila beberapa isu dibincangkan sewaktu lawatan (Timbalan Perdana Menteri) Fadillah (Yusof) dan mendapat persetujuan.

“Untuk kes yang berlaku di Myanmar hasilnya amat positif apabila kita dapat menjalin kerjasama dengan China,” katanya ketika menghadiri sidang media Fadillah yang mengakhiri lawatan rasmi beliau ke China hari ini dan dijangka pulang ke tanah air esok.

Terdahulu Fadillah berkata China memberikan komitmen untuk membantu membawa keluar rakyat Malaysia yang menjadi mangsa sindiket penipuan pekerjaan di Myanmar.

“Apabila terlibat dengan jenayah penipuan ini, mereka tidak mempunyai pasport dan tidak dapat keluar dari negara berkenaan maka kita berusaha dengan apa sahaja prosedur untuk membawa mereka balik,” katanya. – Bernama, 19 November, 2023.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen