JABATAN Peguam Negara (AGC) memberi pandangan secara konsisten sejak 2022 peruntukan berkaitan generasi penamat atau GEG dalam Rang Undang-Undang (RUU) Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam boleh dicabar di mahkamah.
Kenyataan AGC hari ini memaklumkan peruntukan itu bercanggah dengan Perkara 8 Perlembagaan Persekutuan.
“Peruntukan itu mewujudkan layanan undang-undang yang tidak sama di antara seseorang yang dilahirkan sebelum 1 Januari, 2007 dan seseorang yang dilahirkan pada dan selepas 1 Januari, 2007,” katanya.
AGC merujuk kepada kenyataan bekas menteri kesihatan Khairy Jamaluddin yang disiarkan dalam portal badan pemerhati kesihatan CodeBlue pada 14 November lepas dan portal akhbar berbahasa Inggeris New Straits Times pada 16 November.
Khairy mendakwa AGC memberikan keizinan kepada rang undang-undang itu ketika dibawa ke Parlimen pada tahun lepas sebelum membuat keputusan mendadak untuk menggugurkannya.
Beliau mendakwa tindakan menggugurkan RUU itu dilakukan susulan tekanan politik berbanding kebimbangan terhadap kesahihannya dari segi perlembagaan. – Bernama, 18 November, 2023.
Komen