Kudrat pengguna lawan pemodal pro-Israel


Salhan K. Ahmad

Di Malaysia ada yang bimbang sokongan kerajaan, NGO dan rakyat umum ke atas perjuangan pembebasan Palestin akan memberi kesan besar ke atas pelaburan asing di negara ini. – Gambar fail The Malaysian Insight, 19 November, 2023.

SATU kenyataan ringkas Elon Musk baru-baru ini di platform X yang berkait genosid ke atas warga Palestin menghapuskan sejumlah besar pelaburan dalam media sosial itu.

Portal majalah teknologi Wired malah menjangka tindakan Musk itu bakal membunuh platform tersebut tidak lama lagi apabila gergasi korporat dunia enggan melabur iklan.

Selain IBM, Disney, Lionsgate dan European Union, pembuat telefon Apple mengumumkan menyekat pelaburan ke atas X, platform yang sebelum ini dikenali dengan nama Twitter.

Pemodal ini berpendapat Musk menyokong dan mempromosi satu teori konspirasi yang tidak disenangi mereka melalui kenyataan kontroversi itu.

“Anda menyebut kebenaran yang nyata,” coret Musk dengan ringkas di platform tersebut ketika mengulas satu twit yang mendakwa komuniti Yahudi turut menyebarkan kebencian.

Tindakan Musk itu dikecam White House dan tidak lama kemudian para pemodal mengumumkan menyekat wang iklan mereka dari mengalir ke platform X.

Penganalisis yang dipetik Wired menyebut kesan itu besar kerana pemodal berkenaan merupakan pelabur dalam senarai 20 paling besar di platform X.

Perkembangan ini berlangsung ketika anggota masyarakat dunia semakin lantang mengutuk kekejaman Israel dan jenayah perang yang dilakukan rejim itu di bumi Palestin.

Reaksi pemodal dan kaum korporat ke atas jenayah ini juga menjadi perhatian. Kenyataan para pemimpin korporat dan firma yang menyokong serangan Israel tersiar di merata-rata.

Di Malaysia ada yang bimbang sokongan kerajaan, NGO dan rakyat umum ke atas perjuangan pembebasan Palestin akan memberi kesan besar ke atas pelaburan asing di negara ini.

Antara yang dibangkitkan, tindakan boikot dilancarkan badan seperti Boycott, Divest And Sanction (BDS) cawangan Malaysia ke atas jenama dan firma yang menyokong Israel.

Ada juga yang mengambil peluang menangguk di air keruh untuk membangkitkan isu lain dan mendabik dada sebagai hero komuniti.

Contohnya kumpulan yang giat melengkingkan persoalan – mengapa Malaysia tidak mengambil tindakan serupa ke atas penindasan dan kekejaman di negara lain.

Kelantangan Malaysia dalam isu kemerdekaan Palestin sememangnya diketahui. Malah, kerajaan menubuhkan tabung khas untuk menyalurkan bantuan kepada warga yang sengsara di situ.

Jumlahnya mungkin tidak menyamai angka pakej senjata berbilion dolar yang disalurkan Amerika Syarikat kepada Israel untuk membantai Palestin, namun maknanya besar.

Pendirian Malaysia diulangi Perdana Menteri Anwar Ibrahim sewaktu Mesyuarat Pemimpin-Pemimpin Ekonomi bagi Kerjasama Ekonomi Asia-Pasifik (APEC) baru-baru ini.

Dalam acara dihadiri Presiden AS Joe Biden itu, Anwar menyalahkan kuasa besar dunia kerana mengabaikan tanggungjawab moral yang membenarkan kemusnahan besar-besaran berlaku.

“Apa yang berlaku di Gaza, jelas merupakan pengabaian tanggungjawab moral yang membenarkan kemusnahan besar-besaran berlaku dan mengakibatkan bencana iklim,” tegas Anwar seperti dilapor.

Dalam syarahan di University of California pula, Anwar berkata krisis kemanusiaan di Palestin akan memberi kesan berterusan kepada hubungan global.

“Ia adalah pelanggaran undang-undang antarabangsa secara terang-terangan,” tegasnya.

Oleh itu, para pemodal asing sudah tahu benar pendirian Malaysia. Mereka juga tahu Malaysia sangat maklum dengan pendirian firma tersebut menyokong Israel dalam isu Palestin.

Pelobi dan jentera perhubungan raya yang bertindak bagi firma dan pelabur ini tentulah giat memantau suhu dan kesesuaian iklim politik Malaysia untuk membenihkan modal tuan mereka.

Pemodal ini tentu mahu kos menggerakkan perniagaan mereka di sini kekal rendah. Mereka mahu tenaga mahir dan juga golongan pertengahan Malaysia yang ramai sebagai pengguna.

Lalu, nyatalah para pelabur asing tetap berselera untuk terus melabur di sini walau negara kita membuat pendirian tegas ke atas Nakba Kedua yang berlangsung di Palestin.

Sewaktu di San Francisco, Anwar berkata Malaysia berjaya meraih pelaburan bernilai RM63 bilion hasil rundingan di mesyuarat APEC.

Menurutnya gergasi seperti Google, Enovix Corporation, Microsoft dan Tiktok mahu memperbesarkan lagi pelaburan di Malaysia.

Sebagai contoh, Google dilaporkan bakal membina infrastruktur baharu dan melatih 300,000 orang tenaga kerja Malaysia dalam pelaburannya.

Jika dibandingkan, data Jabatan Perangkaan Negara menunjukkan pelaburan asing di Malaysia berjumlah RM74.6 bilion tahun lalu.

AS yang juga sekutu rapat Israel menyumbang aliran masuk bersih tertinggi ke Malaysia berjumlah RM37.8 bilion pada tahun lalu, diikuti Singapura RM11.3 bilion dan Jepun RM9.6 bilion.

Jadi, walaupun Malaysia berkeras menyokong kemerdekaan Palestin dan membiarkan pengguna memboikot barangan dan produk pro-Israel, aliran masuk modal nampaknya tidak terjejas.

Tapi mungkin Jabatan Perangkaan Negara dapat mengemukakan indeks baharu bagi menyukat kesan sebenar gerakan memboikot, melupus dan menyekat produk dan perkhidmatan pro-Israel.

Tanpa semakan secara empiris, kita tidak dapat mengetahui dengan jelas angka dan implikasi sebenar bantahan serta boikot ke atas Israel, sepertimana kesan sekatan iklan ke atas X.

Berbalik ke APEC, sejak awal lagi, Anwar berkata misinya ke persidangan kali ini bagi meredakan ketegangan antara kuasa besar AS dan China melalui diplomasi kreatif.

Beliau yakin konflik bersenjata di antara dua kuasa nuklear itu dapat dielakkan.

Di sela persidangan APEC, Presiden AS Joe Biden dan Presiden China Xi Jinping bertemu. Hasilnya, Biden mengumumkan komunikasi ketenteraan kedua-dua negara akan berjalan semula.

Pemimpin firma besar AS termasuk Musk, Tim Cook dari Apple, dan Steve Schwarzman dari Blackstone juga dapat bersantap semeja dengan Xi.

Ia menandakan iklim positif bagi operasi syarikat AS dan juga China, yang terjejas teruk sewaktu pentadbiran Donald Trump.

Perkembangan ini penting bagi Malaysia untuk memastikan keamanan di Laut China Selatan dan laluan dagang utama di rantau ini.

Cuma, Biden masih tidak berjaya memaksa China mengutuk Hamas, sayap tentera kerajaan sah Palestin sebagai organisasi pengganas. – 19 November, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen