BN hanya mampu hakis majoriti PAS di Kemaman, kata penganalisis


Diyana Ibrahim

PAS meletakkan Menteri Besar Terengganu sebagai calon di Parlimen Kemaman. – Gambar Facebook Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, 19 November, 2023.

BARISAN Nasional (BN) tidak mampu menang Pilihan Raya Kecil (PRK) Kemaman sebaliknya hanya berpotensi mengurangkan jumlah peratusan majoriti PAS, kata penganalisis politik.

Mereka berkata, gambaran di atas kertas menunjukkan pengaruh PAS sukar dicabar dan parti itu dijangka akan dapat mempertahankan kemenangan mereka di kerusi tersebut.

Penganalisis Universiti Teknologi Malaysia Mazlan Ali secara berkata secara umumnya PAS masih lagi menjadi pilihan pengundi berdasarkan rekod dua keputusan pilihan raya.

Ini memandangkan PAS menyapu bersih semua kerusi dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) dan Pilihan Raya Negeri (PRN) baru-baru ini.

Oleh itu Mazlan berpendapat, BN hanya mampu melaksana strategi mengurangkan majoriti kemenangan PAS.

“Secara kesimpulannya, kita lihat BN ini calon underdog dalam PRK Kemaman, dan PAS adalah calon kegemaran pengundi untuk menang.

“Jelas sasaran Umno untuk pastikan dominasi PN di Terengganu ini boleh menunjukkan penurunan. Mereka kena lakukan itu,” katanya kepada The Malaysian Insight.

PAS mempertaruhkan Menteri Besar Ahmad Samsuri Mokhtar untuk mempertahankan kerusi Kemaman dalam PRK yang akan berlangsung pada 2 November.

Di kem kerajaan perpaduan, BN mempertaruhkan bekas panglima Angkatan Tentera Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor sebagai calon.

Mengulas lanjut Mazlan berkata BN berpeluang mengurangkan majoriti kemenangan PAS atas beberapa faktor, antaranya jumlah keluar mengundi yang dijangka rendah.

“Kita kena pertimbangkan PRK ini biasanya ada karakter yang berbeza dengan PRU. PRK ini selalunya peratusan keluar mengundi lebih rendah.

“Kita jangka juga orang muda atas pagar yang menyokong PAS tidak akan pulang mengundi dan yang keluar adalah penyokong tradisi,” tambahnya.

Jelasnya biarpun penguasaan Umno semakin lemah di Terengganu, hakikatnya parti itu tetap mempunyai kekuatan asas di kawasan itu.

“Kita kena pertimbangkan juga pengaruh Umno di  Kemaman. Kalau tengok mereka tak pernah kalah kecuali bermula pada 2018.

“Biarpun ada perubahan landskap politik tapi ciri-ciri asas politik itu masih ada lagi pada Umno, pada saya Umno boleh kurangkan majoriti PAS,” katanya.

Pengarah Eksekutif Ilham Centre, Muhamad Hisomuddin Bakar juga berpendapat kedudukan PAS tidak akan goyah dengan menteri besar sebagai calon di Kemaman.

Beliau berkata PAS juga mempunyai kelebihan berdasarkan pola pengundian yang ditunjukkan dalam pilihan raya umum November lalu.

“Corak pola pengundian dalam PRU biasa tidak akan banyak beza dalam tempoh kurang enam bulan (selepas) PRU. Kecuali ada perkara besar atau isu yang berlaku boleh mengubah pemikiran pengundi.

“Tapi kita ambil kira tempoh pilihan raya boleh dikatakan pola pengundi tak jauh berbeza dan kelebihan ada pada PAS,” katanya.

Tambahnya ia tidak bermaksud BN tidak boleh memberi saingan kerana parti itu juga mempunyai peluang jika menggerakkan strategi yang betul.

Hisomuddin berpendapat calon BN Raja Mohamed Affandi agak kuat dan mampu mengimbangi pengaruh calon PAS.

“Calon diperturunkan BN mampu beri saingan sengit juga dan dari segi jentera boleh dikatakan seimbang. Bergantung juga isu yang dimainkan kita tak tahu apa isu yang akan menjadi tumpuan.

“Kalau kena pada isu yang dikehendaki pengundi, saya rasa mungkin pada waktu itu ada sedikit ruang untuk digunakan calon menentang arus pola pengundian di Kemaman memihak pada PAS.

“Kelebihan BN juga dalam kerajaan dan dibantu jentera dalam kerajaan perpaduan jadi dalam konteks itu mungkin BN ada ruang sedikit tapi kelebihan itu sudah tentu pada PAS,” katanya.

Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan 28 November ini sebagai tarikh mengundi awal, manakala 2 Disember bagi hari mengundi.

PRK itu diadakan susulan keputusan Mahkamah Pilihan Raya Terengganu pada 26 September lepas membatalkan kemenangan calon PAS Che Alias Hamid dalam PRU15. – 19 November, 2023.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen