SPRM lancar bilik gerakan PRK Kemaman


SPRM lancar bilik gerakan bagi membolehkan orang ramai menyalurkan maklumat serta aduan berkaitan perbuatan rasuah dan salah guna kuasa pada PRK Kemaman. – Gambar fail The Malaysian Insight, 18 November, 2023.

SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini melancarkan bilik gerakan bagi membolehkan orang ramai menyalurkan maklumat serta aduan berkaitan perbuatan rasuah dan salah guna kuasa pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Kemaman.

SPRM dalam kenyataan hari ini memaklumkan bilik gerakan PRK Kemaman yang beroperasi 24 jam mulai hari ini hingga 2 Disember itu, terletak di SPRM Cawangan Kemaman, Bangunan Persekutuan, Jalan Melor, Gong Limau, Peti Surat 6000, 24000 Kemaman, Terengganu.

“Selain itu, orang ramai juga boleh menyalurkan sebarang aduan rasuah dan salah guna kuasa melalui emel kepada [email protected] atau menghubungi talian 09-8502080,” menurut kenyataan itu.

SPRM juga mengingatkan semua calon dan parti politik yang bertanding agar tidak melakukan aktiviti  melanggar undang-undang dan peraturan pilihan raya, selaras Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954. – Bernama, 18 November, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen