PERTEMPURAN baharu minggu ini antara tentera Myanmar dan kumpulan bersenjata etnik minoriti menyebabkan lebih 26,000 orang kehilangan tempat tinggal di negeri Rakhine barat, kata Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada Jumaat.
Pertempuran berterusan dengan Tentera Arakan (AA) mengakibatkan 26,175 orang dipindahkan di seluruh Rakhine, kata Pejabat Penyelarasan Hal Ehwal Kemanusiaan PBB dalam perkembangan terkini.
Pejuang AA melancarkan serangan ke atas pasukan keselamatan di Rakhine dan negeri jiran Chin pada Isnin, menamatkan gencatan senjata dan menyebabkan satu lagi pertempuran dengan tentera di utara dan timur.
UNOCHA berkata sekurang-kurangnya 11 orang terbunuh dalam serangan tentera ke atas pusat kawalan AA sejak Isnin.
Pada Khamis, tentera junta membedil bandar Pauktaw, 25km di barat ibu negeri Sittwe, dan menembak dari helikopter selepas pejuang AA merampas balai polis, kata penduduk. – AFP, 18 November, 2023.
Komen