OpenAI pecat CEO ChatGPT Sam Altman


OpenAI memecat CEO ChatGPT, Sam Altman, seorang tokoh utama dalam revolusi AI. – Gambar EPA, 18 November 2023.

SYARIKAT yang membangunkan ChatGPT setahun lalu, Open AI mengumumkan pemecatan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Sam Altman, tokoh utama dalam revolusi kecerdasan buatan (AI) semalam.

Altman menjadi “bintang” sensasi dalam dunia teknologi dengan terbitan ChatGPT hampir setahun lalu, chatbot AI dengan keupayaan yang belum pernah terjangkau sebelum ini, menghasilkan kandungan peringkat manusia seperti puisi atau karya seni dalam tempoh beberapa saat saja.

Pemecatannya mengejutkan dunia teknologi, dengan khabar angin tersebar di media sosial mengenai punca pemecatan secara tiba-tiba.

Kenyataan mengenai pemecatan oleh OpenAI merujuk kepada misi yang dinyatakan untuk memastikan AI memberi manfaat kepada semua umum, dan mengatakan kepimpinan baru diperlukan untuk syarikat itu bergerak ke depan.

Rakan pengasas bersama OpenAI, Greg Brockman juga disingkirkan daripada lembaga pengarah syarikat pada hari yang sama beliau mengumumkan peletakan jawatan.

“Saya amat berbangga dengan apa yang kami bina… tetapi berdasarkan berita hari ini, saya letak jawatan,” kata Brockman dalam catatan di platform X.

“Saya percaya pada misi mencipta AGI selamat (kecerdasan buatan umum) yang memberi manfaat kepada semua manusia.”

Beberapa penganalisis membuat pelbagai tafsiran berhubung rombakan tersebut dan pemecatan Altman, usahawan dan pengekod komputer.

“Kedengarannya seolah-olah terdapat beberapa kebimbangan etika yang mendorong lembaga pengarah untuk melakukan sesuatu,” kata penganalisis Strategi Kreatif Carolina Milanesi.

“Sekiranya beliau disingkirkan kerana kebimbangan etika, itu baik untuk syarikat.”

Sementara itu, ahli lembaga pengarah OpenAI berkata pemecatan Altman sudah dipertimbangkan secara menyeluruh dan mendapati “beliau tidak konsisten dalam perhubungannya dengan lembaga itu, menghalang keupayaannya untuk melaksanakan tanggungjawabnya.”

“Lembaga tidak lagi yakin dengan keupayaannya untuk terus menerajui OpenAI.”

Dalam siaran di platform X, Altman berkata dia “gembira ketika berada di OpenAI.”

“Ia adalah transformatif untuk saya secara peribadi, dan dunia.” – AFP, 18 November, 2023.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen