5 negara desak siasatan ICC terhadap perang di Gaza


Afrika Selatan, Bangladesh, Bolivia, Comoros dan Djibouti -- kesemuanya anggota ICC -- menggesa siasatan keadaan di negara Palestin. – Gambar EPA, 18 November, 2023.

LIMA negara, termasuk Afrika Selatan dan Bangladesh, pada Jumaat menggesa siasatan Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) terhadap perang Israel-Hamas yang menyebabkan ribuan orang terbunuh, kata ketua pendakwa rayanya.

Ketika kebimbangan antarabangsa terhadap jumlah yang semakin meningkat, gesaan itu dibuat ketika keluarga beberapa orang Israel yang dijadikan tebusan oleh Hamas dalam serangan 7 Oktober turut meminta tindakan ICC.

Ketua pendakwa raya ICC, Karim Khan berkata Afrika Selatan, Bangladesh, Bolivia, Comoros dan Djibouti—kesemuanya anggota ICC—menggesa siasatan keadaan di negara Palestin.

Khan berkata dalam satu kenyataan berkata siasatan ke atas peristiwa di Semenanjung Gaza dan Tebing Barat yang diduduki bermula pada Mac 2021 kini berlarutan kepada peningkatan permusuhan dan keganasan sejak serangan pada Oktober lalu.

Khan, yang baru-baru ini ke pintu sempadan utama antara Gaza dan Mesir, berkata pasukannya mengumpulkan banyak bukti mengenai insiden itu.

Beliau merayu agar lebih banyak bukti dikemukakan dan menambah: “Saya juga akan meneruskan usaha untuk melawat negara Palestin dan Israel untuk bertemu dengan mangsa terselamat, mendengar daripada pertubuhan masyarakat sivil dan terlibat dengan rakan sejawatan negara berkaitan.”

“Saya menyeru semua pihak berkaitan memberikan kerjasama penuh dengan ICC,” tambah Khan—walaupun Israel bukan anggota ICC.

Kementerian Luar Afrika Selatan berkata ia menggesa rakan anggota ICC menyertai gesaan bagi menjalankan  siasatan.

“Afrika Selatan terus komited untuk menamatkan impunitas bagi jenayah perang, jenayah terhadap kemanusiaan dan pembunuhan beramai-ramai, dan diharapkan keadaan di Palestin akan diutamakan oleh ICC untuk memberikan keadilan kepada mangsa jenayah berat ini,” katanya.

Sebelum ini, Israel mendakwa 239 warga dari beberapa negara ditahan Hamas apabila pejuangnya melancarkan serangan pada 7 Oktober lalu.

Nasib tahanan kini menjadi isu utama di Israel selepas rejim itu meneruskan serangan udara dan darat yang dilaporkan menyebabkan 12,000 maut.

Sama seperti peguam untuk keluarga beberapa keluarga Palestin yang maut meminta tindakan ICC, keluarga tebusan menuntut Khan mengeluarkan waran untuk pemimpin Hamas.

“Siasatan sedang dijalankan,” kata Francois Zimeray, peguam untuk sembilan keluarga, kepada AFP selepas pertemuan itu.

Beliau berkata beliau menyerahkan dokumen bagi pihak beberapa keluarga yang mahukan waran dikeluarkan untuk jenayah perang dan pembunuhan beramai-ramai.

Mana-mana individu atau kumpulan boleh membuat permintaan kepada ICC tetapi ia tidak diwajibkan untuk menerima kes itu.

Pakar undang-undang memberitahu AFP yang Hamas dan Israel boleh menghadapi tuduhan jenayah perang atas konflik itu.

Siasatan ICC yang bermula pada 2021 adalah mengenai dakwaan jenayah perang oleh tentera Israel, Hamas dan kumpulan bersenjata Palestin yang lain. – AFP, 18 November, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen