Lebih 40,000 jam video rusuhan Capitol AS akan disiarkan


Lebih 40,000 jam video keselamatan serangan ke atas Capitol AS pada 6 Januari 2021 akan disiarkan kepada orang awam untuk membolehkan rakyat AS 'melihat sendiri apa yang berlaku pada hari itu bagi mengelakkan tafsiran dibuat hanya berdasarkan pandangan sekumpulan kecil pegawai kerajaan’. – Gambar EPA, 18 November 2023.

LEBIH 40,000 jam video keselamatan menampilkan serangan ke atas Capitol Amerika Syarikat (AS) pada 6 Januari 2021 akan disiarkan kepada orang awam, kata speaker Dewan Rakyat Republikan yang baru dilantik semalam.

“Hari ini, saya menepati janji kepada rakyat AS bagi menyiarkan rakaman insiden 6 Januari kepada semua,” tulis Mike Johnson, pemimpin dari Louisiana itu di platform X.

“Ini kerana kebenaran dan ketelusan adalah sangat penting.”

Johnson, yang menyokong usaha bekas presiden Donald Trump untuk mengambil alih semula pentadbiran Rumah Putih pada 2024, berkata video keselamatan Capitol Hill akan disiarkan secara berperingkat di laman sesawang awam.

“Keputusan ini akan memberikan jutaan rakyat Amerika, defendan jenayah, organisasi berkepentingan awam, dan media keupayaan untuk melihat sendiri apa yang berlaku pada hari itu, sekali gus bagi mengelakkan tafsiran dibuat hanya berdasarkan pandangan sekumpulan kecil pegawai kerajaan,” kata Johnson.

Rakaman pengawasan itu sudah disemak oleh jawatankuasa kongres yang menyiasat serangan ke atas Kongres oleh penyokong Trump yang mahu membatalkan kemenangan pilihan raya Joe Biden pada 2020.

Jawatankuasa pilihan Dewan Perwakilan mengesyorkan Trump, calon utama presiden mewakili Republikan pada 2024, didakwa atas pemberontakan dan kesalahan lain berkaitan rusuhan di Capitol.

Trump akan dibicarakan di Washington pada Mac atas tuduhan bersubahat bagi membatalkan keputusan pilihan raya 2020 dan lebih 1,200 orang ditahan berkaitan insiden 6 Januari terbabit.

Johnson berkata wajah perusuh akan dikaburkan untuk “mengelakkan mana-mana individu menjadi sasaran balas dendam” dan video maklumat keselamatan bangunan Capitol yang sensitif akan dirahsiakan. – AFP, 18 November 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen