Parti gesa kaji semula Akta Lompat Parti harus pinda Perlembagaan masing-masing, kata Rafizi


Timbalan Presiden PKR Rafizi Ramli berkata parti politik yang menggesa Akta Lompat Parti dikaji semula atas dakwaan wujud beberapa kelemahan sepatutnya meminda perlembagaan masing-masing. – Gambar fail The Malaysian Insight, 17 November, 2023.

PARTI politik yang menggesa Akta Lompat Parti dikaji semula atas dakwaan wujud beberapa kelemahan sepatutnya meminda perlembagaan masing-masing, kata Timbalan Presiden PKR Rafizi Ramli.

Katanya semakan semula akta berkenaan tidak dibincangkan oleh Jemaah Menteri.

Pada 9 November lalu Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Muhyiddin Yassin berkata kajian itu perlu dibuat kerana akta tersebut ada beberapa kelemahan susulan tindakan empat Ahli Parlimen Bersatu menyuarakan sokongan kepada Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

Rafizi berkata perbincangan dan persetujuan terhadap undang-undang anti lompat sebenarnya melalui proses berbulan-bulan dan ini adalah kompromi terbaik dicapai oleh semua parti.

“Bagi saya titik kelemahan berlaku kerana parti seperti Bersatu tidak seperti parti dalam Pakatan Harapan (PH), tidak meminda perlembagaan parti mereka yang menyatakan bahawa jika mana-mana Ahli Parlimen membelakangkan keputusan parti itu dianggap sebagai peletakan jawatan dari parti.

“Jika perkara ini berlaku dalam PH, itu bukan masalah kerana perlembagaan masing-masing parti sudah menangani kelemahan tersebut semasa perundingan dua tahun terakhir menjelang tarikh draf,” katanya pada sidang media di Asia Business School di Kuala Lumpur hari ini.

Beliau berkata demikian ketika mengulas kenyataan Muhyiddin yang juga presiden Bersatu berhubung desakan supaya akta itu dikaji semula. – Bernama, 17 November, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen