Akses komunikasi Gaza terputus, Israel terus geledah hospital


Askar Israel terus melakukan pencarian semasa operasi ketenteraan di sekitar Hospital Al-Shifa di Gaza. – Gambar AFP, 17 November, 2023.

TENTERA Israel terus melakukan pencarian dari bangunan ke bangunan di hospital utama Gaza selepas memutuskan semua bentuk komunikasi di wilayah itu.

Tindakan itu menambah kebimbangan bagi orang awam Palestin yang terperangkap di dalam kemudahan itu.

Hospital Al-Shifa menjadi pusat tumpuan bagi operasi Israel di utara Gaza sejak tentera menyerbu kompleks itu pada Rabu selepas mendakwa hospital itu sebagai pusat operasi Hamas.

Hamas dan pengurus hospital menafikan tuduhan itu selain mendatangkan kebimbangan antarabangsa berikutan terdapat ribuan rakyat Palestin termasuk pesakit yang cedera dan bayi pramatang dipercayai terperangkap di dalam bangunan berkenaan.

Israel berikrar untuk menghapuskan Hamas sebagai tindak balas terhadap operasi kumpulan itu pada 7 Oktober.

Pengeboman udara dan operasi darat Israel membunuh 11,500 orang termasuk beribu-ribu kanak-kanak, menurut pihak berkuasa tempatan yang dikendalikan Hamas di Gaza.

Kamera AFPTV menunjukkan asap hitam tebal memenuhi ruang udara utara Semenanjung Gaza hari ini.

Pihak berkuasa Israel mempertahankan operasi mereka dan semalam tentera berkata mereka menemui senapang, peluru, bahan letupan dan pintu masuk ke terowong di Al-Shifa.

Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu mendakwa tebusan mungkin ditahan di kemudahan perubatan.

“Kami mempunyai petunjuk kukuh mereka ditahan di Hospital Shifa yang merupakan salah satu sebab kami memasuki hospital itu.

“Jika mereka (di sana), mereka akan dibawa keluar,” katanya kepada CBS Evening News

Pembekal rangkaian kumpulan Paltel berkata semua telekomunikasi terputus kerana semua sumber tenaga yang mengekalkan rangkaian habis dan bahan api tidak dibenarkan masuk.

PBB memberi amaran tindakan memutuskan talian komunikasi di Gaza akan menambahkan lagi kesengsaraan orang awam, merumitkan usaha untuk mengagihkan bantuan dan mungkin mencetuskan rompakan bekalannya. – AFP, 17 November, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen