PASUKAN Penyelamat India memberi amaran pada Jumaat mereka mungkin mengambil masa dua hari lagi untuk membersihkan runtuhan sebelum boleh mengeluarkan 40 pekerja yang terperangkap dalam terowong runtuh selama hampir seminggu.
Jengkaut mengalihkan serpihan sejak pagi Ahad untuk memuat laluan menyelamat bagi pekerja selepas sebahagian daripada terowong dibina runtuh di negeri Himalaya Uttarakhand.
Usaha menyelamat menjadi perlahan disebabkan serpihan yang jatuh ketika pekerja cuba untuk membersihkan terowong.
Selepas mengalami masalah gerudi, tentera udara pada Rabu menghantar mesin gerudi kedua dengan pesawat C-130 Hercules.
Jurutera sedang cuba memasukkan paip keluli selebar kira-kira 90cm (hampir tiga kaki) melalui serpihan—cukup lebar untuk lelaki yang terperangkap menyelinap masuk.
Menjelang malam Khamis, hanya 18m paip berjaya dimasukkan dengan bantuan mesin baharu itu.
“Jika kerja diteruskan pada kadar ini, ia akan mengambil masa 40-48 jam lagi untuk menyelamatkan pekerja,” kata ketua penyelamat Deepak Patil pada pagi Jumaat.
Ketika penyelamat bergegas untuk menyelamatkan pekerja terperangkap, India mendapatkan nasihat daripada syarikat Thailand yang menyelamatkan kanak-kanak dari gua yang ditenggelami air pada 2018, serta pakar kejuruteraan bidang mekanik tanah dan batu di Institut Geoteknik Norway.
Pasukan penyelamat berkomunikasi dengan pekerja yang terperangkap menggunakan radio.
Makanan, air, oksigen dan ubat juga dihantar kepada pekerja yang terperangkap melalui paip selebar 15cm.
Tiada butiran rasmi diberikan mengenai keadaan pekerja, tetapi media tempatan melaporkan ada yang mengalami muntah-muntah, sakit kepala, keresahan dan masalah perut.
Hospital medan enam katil juga disediakan di luar tapak dengan ambulans bersiap sedia untuk memindahkan kes serius ke hospital.
Terowong sepanjang 4.5km sedang dibina antara bandar Silkyara dan Dandalgaon untuk menghubungkan Uttarkashi dan Yamunotri. – AFP, 17 November, 2023.
Komen