Pusat penyelidikan gesa dialog tangani maklumat salah minyak sawit


Minyak sawit adalah asas kepada ekonomi Malaysia, menyumbang hampir RM138 bilion kepada nilai eksport kita pada tahun lepas sahaja. – Gambar fail The Malaysian Insight, 17 November, 2023.

DIALOG membina diperlukan segera untuk menangani maklumat salah yang melingkari industri minyak sawit Malaysia, kata firma penyelidikan hari ini.

Datametrics Research and Information Centre (DARE)berkata ini penting susulan label “Tiada Minyak Sawit” yang muncul di seluruh pasar raya tempatan walaupun pelabelan sedemikian dilarang di bawah Akta Perihal Dagangan 2011 [Akta 730].

Pengarah Urusan DARE Pankaj Kumar berkata dalam satu kenyataan, perlu ada dialog awam yang mantap dan bermaklumat mengenai kesan ekonomi dan alam sekitar terhadap pengeluaran minyak sawit di Malaysia.

Ini akan membantu mencabar pendapat sewenang-wenangnya yang dibuat terhadap industri, terutama daripada media Barat yang membawa propaganda pelobi antiminyak sawit, tambahnya.

“Minyak sawit adalah asas kepada ekonomi Malaysia, menyumbang hampir RM138 bilion kepada nilai eksport kita pada tahun lepas sahaja.

“Adalah penting untuk mengiktiraf bukan sahaja ekonomi tetapi juga kemajuan mampan yang dicapai oleh industri, walaupun label ‘Tiada Minyak Sawit’ mengelirukan yang bercanggah dengan Akta Perihal Dagangan kita,” katanya.

Pankaj berkata walaupun kesalahan sedemikian boleh membawa kepada denda RM250,000 atau penjara lima tahun, atau kedua-duanya, label produk ini terus muncul di rak tempatan.

“DARE percaya maklumat salah mengenai minyak sawit membawa akibat yang serius kepada pekebun kecil Malaysia dan pasaran antarabangsa.

“Memburukkan lagi isu ini ialah label mengelirukan, yang bukan sahaja melanggar undang-undang tempatan tetapi juga menjejaskan talian hayat ekonomi yang penting kepada jutaan rakyat Malaysia yang terlibat dalam industri minyak sawit,” katanya.

Beliau seterusnya berkata Malaysia mengorak langkah dalam amalan mampan, seperti dibuktikan oleh pensijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO), yang memastikan kebolehkesanan rantaian bekalan penuh dan pematuhan kepada piawaian pengauditan yang ketat.

Beliau berkata pihak berkepentingan dan pengguna mesti mengiktiraf peranan skim pensijilan tempatan seperti MSPO dalam menyokong usaha wajar dan mitigasi risiko dalam rantaian bekalan minyak sawit.

“Salah tanggapan mengenai minyak sawit bukan sahaja mengancam ekonomi Malaysia tetapi juga menjejaskan usaha global dalam mempromosikan amalan pertanian yang beretika dan mesra alam,” kata Pankaj.

“Sudah tiba masanya untuk perbincangan kolaboratif dan bermaklumat yang mengiktiraf kemajuan sebenar dicapai dalam industri minyak sawit.” – 17 November, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen