2 pesawat tentera Indonesia terhempas, 4 maut


Serpihan pesawat Embraer Super Tucano milik tentera Indonesia yang terhempas di lereng gunung berhampiran Gunung Bromo di Jawa Timur semalam. – Tangkap layar video Twitter, 17 November, 2023.

EMPAT orang termasuk dua juruterbang maut selepas dua pesawat tentera Indonesia terhempas semalam ketika sedang menjalani latihan penerbangan, menurut jurucakap tentera udara negara itu.

Dua pesawat Embraer Super Tucano itu berlepas dari Malang di Jawa Timur pagi semalam sebelum terputus hubungan setengah jam kemudian ketika latihan rutin.

“Semua mayat telah ditemui.

“Dua sudah berada di hangar, dua masih dalam perjalanan ke pangkalan,” kata jurucakap tentera udara, Agung Sasongko Jati.

Menurut beliau, mayat dua juruterbang dan dua pembantu juruterbang itu ditemui selepas mendapat maklumat daripada orang ramai mengenai lokasi kejadian.

Empat mayat tersebut dijumpai di lereng gunung berhampiran Gunung Bromo di Jawa Timur. Pesawat dipercayai melanggar lereng curam sebelum terhempas, kata Agung.

Dua pesawat tempur ringan ringan itu dalam keadaan baik sebelum terhempas, dan punca nahas sedang disiasat tambahnya. – AFP, 17 November, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen