PRESIDEN Peru Dina Ercilia Boluarte Zegarra meminta Malaysia agar mempertimbangkan pembukaan sebuah pejabat di Peru untuk membantu memudah cara pensijilan halal bagi produk Peru memandangkan pensijilan halal Malaysia diiktiraf di seluruh dunia, kata Perdana Menteri Anwar Ibrahim.
“Saya telah bersetuju untuk memudahkan permintaan Peru itu secepat mungkin,” katanya kepada media Malaysia selepas mengadakan pertemuan dua hala dengan Boluarte di sela-sela Mesyuarat Pemimpin Ekonomi Apec di San Francisco pada Khamis.
Hadir sama dalam mesyuarat itu ialah Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Zafrul Abdul Aziz; Menteri Luar Negeri Zambry Abd Kadir; Duta Besar Malaysia di Amerika Syarikat Mohamed Nazri Abdul Aziz dan Ahli Parlimen Sim Tze Tzin.
Anwar yang juga menteri kewangan berkata Boluarte telah menjemputnya melawat Peru tahun depan sempena Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (Apec) 2024 yang akan dipengerusikan Peru.
Presiden Peru itu turut mempelawa perniagaan Malaysia untuk melawat dan melabur di negara itu, katanya.
Anwar juga menyampaikan ucapan terima kasih kepada pihak berkuasa Peru kerana menyelamatkan dan membantu 43 rakyat Malaysia yang menjadi mangsa pemerdagangan manusia dan eksploitasi buruh di negara itu baru-baru ini.
“Boluarte telah menyampaikan komitmen kerajaannya untuk mencegah dan memerangi pemerdagangan manusia,” katanya.
Anwar berkata Malaysia mengulangi komitmen untuk terus melatih pegawai Peru di bawah Program Kerjasama Teknikal Malaysia dan saling belajar daripada kepakaran masing-masing.
Mengenai permintaan Peru untuk mewujudkan status Perkongsian Pembangunan dengan Asean, beliau berkata Malaysia pada dasarnya menyokong usaha itu.
Kedua-dua pemimpin turut membincangkan aspek pemerkasaan wanita dan perubahan iklim, katanya.
Perdagangan dua hala antara Malaysia dan Peru berjumlah AS$168.45 juta (RM751.77 juta) dari Januari hingga Jun 2023, meningkat 12.8% daripada AS$155.97 juta (RM666.44 juta) yang dicatatkan dalam tempoh sama pada 2022. – Bernama, 17 November, 2023.
Komen