Penduduk terkejut MPS teruskan kerja naik taraf jalan


Noel Achariam

Pokok-pokok di Bukit Rahman Putra, Sungai Buloh dicantas untuk kerja-kerja menaik taraf jalan. Penduduk mendakwa projek itu akan menjejaskan padang di taman perumahan tersebut. – Gambar ihsan penduduk BRP, 17 November, 2023.

PENDUDUK Bukit Rahman Putra (BRP) di Sungai Buloh terkejut apabila kerja-kerja menaik taraf jalan di taman perumahan itu tetap diteruskan walaupun pengurusan kes bagi semakan kehakiman telah ditetapkan minggu depan.

Mereka berkata beberapa batang pokok di situ ditebang sedangkan Majlis Perbandaran Selayang (MPS) maklum mengenai bantahan terhadap kerja-kerja naik taraf tersebut.

Mahkamah Tinggi Shah Alam menetapkan 23 November ini sebagai pengurusan kes bagi semakan kehakiman yang difailkan penduduk. 

Wakil penduduk BRP, Lam Kin Tong berkata pihak kontraktor dan anggota Majlis Perbandaran Selayang (MPS) datang ke taman perumahan itu pada Selasa untuk memulakan kerja-kerja menaik taraf jalan. Malah kontraktor gagal menunjukkan surat arahan memulakan kerja apabila diminta.

“Kami sudah fail permohonan untuk semakan kehakiman yang akan didengar minggu depan. KOntraktor dan MPS juga sudah dimaklumkan mengenainya.

“Macam mana ini boleh berlaku? Kami terkejut tengok mereka datang bawa gergaji untuk tebang pokok. Ini jelas penyalahgunaan kuasa,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Menurut Lam, kontraktor menebang tiga batang pokok dan mencatas sembilan lagi pokok.

Penduduk membantah keras cadangan pemaju untuk melebarkan Jalan BRP 7 yang terletak di sebelah padang bola taman perumahan terbabit.

Pemaju mahu menaik taraf Jalan BRP 7 untuk dijadikan laluan bagi projek perumahan di kawasan kejiranan itu.

Lam berkata mereka sudah memaklumkan kepada pegawai MPS mengenai permohonan semakan kehakiman bagi membantah kerja-kerja menaik taraf jalan itu.

“Pegawai MPS kata mereka tak tahu apa-apa. 

“Kemudian kami hubungi peguam kami, Joy Appukuttan. Beliau memfailkan sijil kesegeraan (certificate of urgency),” kata Lam. – 17 November, 2023.

Berita penuh di sini


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen