Boikot tidak jejas pelaburan asing, kata pakar ekonomi


Alfian Z.M. Tahir

Adalah lebih baik untuk rakyat Malaysia memboikot produk atau jenama yang secara langsung membiayai Israel, bukan sekadar syarikat makanan, kata pakar ekonomi. – Gambar The Malaysian Insight oleh Afif Abdul Halim, 17 November, 2023.

PELABURAN asing akan terus masuk ke negara ini walaupun desakan diteruskan untuk memboikot jenama dan syarikat yang ada kaitan dengan Israel, kerana gesaan itu bukan dibuat secara langsung oleh Putrajaya, kata pakar ekonomi.

Pensyarah kanan Putra Business School Dr Ahmed Razman Abdul Latiff berkata boikot yang dijalankan pada masa ini terhadap beberapa produk tertentu adalah langkah sementara.

Beliau berkata tindakan itu hanya berdasarkan kepada emosi semata-mata dan beri kesan kepada syarikat tempatan.

“Boikot itu datang daripada aspek berbeza dan ia memberi kesan yang berbeza. Boikot bermula sejak bertahun lalu, contohnya McDonald’s. Namun, ia tidak mampan, ia hanya sementara.

“Ia berdasarkan kepada emosi tetapi memberi kesan kepada syarikat tempatan,” katanya, menambah Malaysia tidak akan menghadapi tindak balas daripada pelabur akibat pendiriannya yang pro Palestin.

Tahun lalu, Putrajaya mengumumkan pelaburan diluluskan sebanyak RM123.3 bilion bagi separuh pertama tahun itu.

Jumlah keseluruhan pelaburan untuk 2022, bagaimanapun hanya RM74.6 bilion, menurut data Jabatan Perangkaan Negara.

Amerika Syarikat (AS) yang juga sekutu rapat Israel, menyumbang aliran masuk bersih tertinggi ke Malaysia berjumlah RM37.8 bilion diikuti Singapura RM11.3 bilion dan Jepun RM9.6 bilion.

Pelaburan langsung AS di Malaysia termasuk dalam sektor pembuatan dan perdagangan borong.

Razman berkata adalah lebih baik untuk rakyat Malaysia memboikot produk atau jenama yang secara langsung membiayai Israel.

Memetik laporan Boikot Penjualan dan Sekatan (BDS), Razman berkata rakyat Malaysia perlu melihat kepada jenama seperti Hewlett Packard Inc (HP Inc) atau Puma yang memang perniagaannya dikait secara langsung dengan Israel.

“Perlu ada boikot bersasar. Ia tidak boleh berdasarkan khabar angin saja. BDS ada senarai syarikat dan jenama yang melabur di Israel.

“Syarikat keselamatan, G4S, menyediakan sistem keselamatan kepada Israel dan ia ada cawangan di sini. Jadi apa kata syarikat tempatan yang mendapatkan khidmat G4S menamatkan kontrak mereka?

“Puma satu lagi jenama. Hyundai Heavy Industry juga bertanggungjawab menjual peralatannya untuk kerja meroboh rumah di Tebing Barat. Jadi ini antara syarikat yang perlu kita beri perhatian,” katanya.

Katanya, dengan menyasarkan syarikat tertentu, ekonomi Malaysia tidak akan terjejas.

“Pertama sekali, boikot itu bukan arahan kerajaan.

“Ia digerakkan oleh rakyat, Putrajaya tidak pernah keluarkan arahan boikot produk tertentu walaupun kerajaan jelas dengan pendiriannya iaitu menyokong rakyat Palestin.

“Dengan boikot bersasar, ekonomi kita tidak akan terjejas kerana bukan semua orang terbabit. Pada masa ini, boikot kita tersasar kerana menyasarkan makanan dan minuman yang tidak akan kekal lama,” katanya.

Pemeriksaan di laman web BDS tiada yang menunjukkan Starbucks menjalankan perniagaan secara langsung dengan Tel Aviv. McDonald’s pula disenaraikan di bawah sasaran boikot organik – boikot yang tidak dimukakan oleh BDS tetapi kempen akar umbi.

Dikatakan boikot McDonald’s dilakukan kerana ia ada cawangan di Israel. Mereka secara terbuka menyokong Israel dan memberikan sumbangan kepada tentera Israel. – 17 November, 2023.

Berita penuh di sini


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen