DUA puluh enam orang maut dan puluhan lagi cedera selepas kebakaran memusnahkan sebuah bangunan di wilayah Shanxi di utara China pada Khamis, lapor media kerajaan.
Kebakaran bermula di sebuah bangunan empat tingkat milik syarikat arang batu Yongju di bandar Luliang wilayah Shanxi pada kira-kira 6:50 pagi waktu tempatan (2250 GMT pada Rabu), kata media kerajaan, memetik pihak berkuasa tempatan.
Dua puluh enam orang disahkan maut, lapor agensi berita Xinhua.
Sebelum ini, penyiar CCTV berkata, 63 orang telah dipindahkan, 51 daripadanya dimasukkan ke hospital.
Laporan itu bagaimana pun tidak menyatakan sama ada mereka yang dibawa ke hospital telah meninggal dunia.
“Kerja-kerja menyelamat masih dijalankan dan punca kebakaran masih dalam siasatan,” lapor CCTV.
Laporan terkini kemudian mengatakan kebakaran “kini dapat dikawal”.
Rakaman video yang disiarkan di laman sosial Weibo menunjukkan api terang dan asap hitam tebal berkepul-kepul dari bangunan itu, manakala berpuluh-puluh orang berdiri di tempat letak kereta menonton.
Kemalangan industri adalah perkara biasa di China disebabkan oleh piawaian keselamatan yang longgar dan penguatkuasaan yang lemah. – AFP, 16 November, 2023.
Komen