Agus sahkan hantar surat letak jawatan J-kom


Diyana Ibrahim

Ketua Pengarah J-kom Mohammad Agus Yusoff mengesahkan sudah menghantar notis kepada perdana menteri untuk letak jawatan. – Gambar Facebook, 16 November, 2023.

KETUA Pengarah Jabatan Komunikasi Komuniti (J-kom) Mohammad Agus Yusoff mengesahkan sudah menghantar notis kepada perdana menteri untuk letak jawatan.

Beliau bagaimanapun menyerahkan kepada Perdana Menteri Anwar Ibrahim untuk menerima atau menolak permintaannya itu.

“Saya belum lagi letak jawatan, cuma hantar notis untuk letak jawatan.

“Sebelum nak letak jawatan kena hantar notis dulu. Tak tahulah perdana menteri terima atau tidak,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Anwar kini di San Francisco, Amerika Syarikat kerana menghadiri Mesyuarat Pemimpin Ekonomi Apec.

Awal hari ini beberapa media yang memetik sumber melaporkan Agus sudah menghantar surat peletakan jawatan tetapi belum lagi dilihat oleh perdana menteri yang berada di luar negara.

Laporan sama juga menyebut Agus sudah mula bercuti sehingga tamat tempoh perkhidmatan iaitu 15 Disember.

Bercakap kepada The Malaysian Insight, Agus menafikan beliau mahu letak jawatan kerana desakan pelbagai pihak yang mendakwa beliau gagal menjalankan tugasnya.

“Ini bukan desakan mana-mana pihak.

“Saya dapat tawaran baharu. Cerita saya letak jawatan ini tidak penting… yang penting, ke mana Agus akan pergi selepas ini,” katanya.

Agus enggan mendedahkan tawaran baharu yang diterimanya sebaliknya berkata beliau “masih bersama kerajaan PH”.

“Saya akan duduk tempat yang sesuai dengan kemahiran saya. Saya akan terus bersama dengan kerajaan PH melawan naratif yang cuba menjatuhkannya.

“Saya tak berhenti sebab masalah tekanan, sebab siapa-siapa yang duduk tempat tempat saya di J-kom akan hadapi masalah yang sama, harapan (yang sama) dari pelbagai pihak,” tambahnya.

Agus, bekas pensyarah sains politik di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), dilantik mengetuai J-kom sejak 2 Februari, 2023.

Bagaimanapun beliau dan J-kom dikritik teruk terutamanya dalam kalangan penyokong Pakatan Harapan (PH) kerana didakwa gagal berperanan dengan baik untuk menangkis serangan pembangkang terhadap dasar kerajaan.

Beliau dan J-kom juga didakwa tidak berjaya menghebahkan dengan berkesan dasar kerajaan terutama dalam beberapa isu yang menjejaskan kepentingan rakyat, misalnya harga barang.

Awal bulan ini, Agus mempertahankan fungsi J-kom dan menafikan tanggapan ia alat propaganda kerajaan.

“Pembangkang kena faham, J-Kom bukan (pasukan) strategi komunikasi (Stratcom) kerajaan sebaliknya agensi komunikasi komuniti. Sebab itu J-Kom tidak kawal media, tidak ada ‘cybertrooper’.

“J-Kom betul-betul murni menerangkan dasar kerajaan, impian misi dan visi perdana menteri kepada masyarakat dan komuniti kerana kami ketemu secara langsung,” katanya, seperti dipetik oleh Free Malaysia Today.

Agus juga menepis cadangan supaya J-kom dibubar.

“Siapa lagi yang hendak mempertahankan, menaikkan segala jasa baik kerajaan, jika tidak J-Kom juga harus berperanan,” katanya.

Agus juga sebelum ini berkali-kali menegaskan J-kom akan terus berperanan mempertahankan perdana menteri dan dasar kerajaan daripada serangan pembangkang. – 16 November, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen