Hamas dakwa tentera Israel guna jentolak masuk Hospital Al-Shifa


Gambar menunjukkan tentera Israel memasuki Hospital Al-Shifa. Hamas mendakwa tentera Israel menggunakan jentolak untuk memasuki hospital berkenaan. – Gambar AFP, 16 November, 2023.

KEMENTERIAN kesihatan yang dikendalikan Hamas di Semenanjung Gaza hari ini mendakwa tentera Israel menggunakan jentolak untuk memasuki Hospital Al-Shifa.

Israel sebelum itu mendakwa pusat operasi Hamas berada di bawah hospital berkenaan.

“Jentolak Israel memusnahkan bahagian pintu masuk selatan hospital,” kata kementerian itu dalam satu kenyataan ringkas.

Tentera Israel memberitahu AFP operasi sedang dijalankan di kompleks hospital itu.

“Malam ini kami menjalankan operasi yang disasarkan ke hospital Shifa. Kami terus bergerak ke hadapan,” kata Ketua Operasi Tentera Israel di Semenanjung Gaza Mejar Jeneral Yaron Finkelman menerusi Telegram.

Tentera Israel melakukan operasi di Hospital Al-Shifa semalam, mencetuskan kebimbangan dan kritikan antarabangsa yang serius.

Seorang wartawan yang terperangkap di dalam hospital berkata tentera Israel menembak ke udara dan mengarahkan lelaki muda menyerah diri sebaik mereka masuk ke hospital semalam.

Israel dan sekutu utamanya Amerika Syarikat berkata Palestin mempunyai pusat arahan di bawah Hospital Al-Shifa.

Tentera Israel berkata mereka menemui peralatan tentera dan tempur di dalam kawasan itu semasa operasi dijalankan semalam.

Hamas bagaimanapun menafikan dakwaan itu. – AFP, 16 November, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen