Bekas anggota In-Team meninggal dunia 


Mohd Suhaimi Saad meninggal dunia di Hospital Sultan Ismail di Johor Bahru malam ini.– Gambar Facebook, 15 November, 2023.

BEKAS anggota kumpulan nasyid In-team, Mohd Suhaimi Saad, 43, meninggal dunia di Hospital Sultan Ismail (HSI) di Johor Bahru malam ini.

Mengesahkan perkara itu, Pengarah Kesihatan Negeri Johor Dr Mohtar Pungut@ Ahmad berkata Mohd Suhaimi, yang dimasukkan ke HSI sejak 10 November lepas, meninggal dunia pada 7.40 malam disebabkan kejutan septik dengan kegagalan pelbagai organ. 

“Jenazah Allahyarham sudah dituntut oleh keluarga,” katanya ketika dihubungi Bernama malam ini.

Terdahulu, berita pemergian Allahyarham turut dikongsi kumpulan nasyid tersebut di Facebook rasmi In-team.

“Salam takziah buat seluruh ahli keluarga. Semoga dipermudahkan segala urusan. Semoga Allah menempatkan Allahyarham dalam kalangan orang-orang yang beriman dan beramal soleh,” menurut hantaran itu.

Semalam, media melaporkan Mohd Suhaimi sedang menerima rawatan di unit rawatan rapi di sebuah hospital di Johor Bahru. – Bernama, 15 November, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen