DIABETES menjejaskan populasi Afrika disebabkan oleh urbanisasi pesat, gaya hidup tidak aktif, tabiat pemakanan yang buruk dan ketagihan alkohol, menurut seorang pegawai kanan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) semalam semasa sambutan Hari Diabetes Sedunia.
Pengarah wilayah WHO untuk Afrika, Matshidiso Moeti berkata benua itu mempunyai 24 juta orang dewasa yang menghidap diabetes dan jumlah berkenaan dijangka meningkat kepada 55 juta pada tahun 2045.
Beliau berkata diabetes bertanggungjawab untuk 416,000 kematian di Afrika pada 2021 dan dijangka menjadi antara punca utama kematian di benua itu menjelang 2030.
Keadaan itu dapat diubah sekiranya masyarakat mengamalkan gaya hidup lebih sihat seperti kerap bersenam.
“Diabetes menjejaskan setiap bahagian tubuh manusia dan jika tidak diuruskan dengan betul, orang yang menghidap penyakit itu boleh mengalami komplikasi yang melemahkan dan mengancam nyawa,” menurut Moeti dalam satu kenyataan yang dikeluarkan di Nairobi, ibu negara Kenya, lapor Xinhua.
Moeti yang menyifatkan diabetes memberi tekanan ekonomi kepada keluarga juga menekankan bahawa pemeriksaan berkala bersama rawatan dan penjagaan yang berkualiti adalah kunci untuk meminimumkan kematian yang dikaitkan dengan penyakit itu.
Menurut beliau, 54 peratus orang yang hidup dengan diabetes di Afrika masih belum didiagnosis dan berisiko menghidap penyakit itu di kemudian hari kerana ubat-ubatan seperti seperti insulin boleh melewatkan kemunculan penyakit itu.
Sementara itu Moeti berkata WHO membangunkan alat-alat untuk mencegah penyakit tidak berjangkit termasuk diabetes untuk rantau Afrika.
Pegawai WHO itu menggesa kerajaan untuk melabur dalam pencegahan diabetes yang direka khusus untuk komuniti tempatan termasuk diet yang kaya serat dan vitamin, kesedaran terhadap penggunaan tembakau dan alkohol, senaman fizikal dan menyediakan ubat yang dapat menyelamatkan nyawa pesakit.
Selain itu Moeti berkata kerajaan sepatutnya melatih petugas penjagaan kesihatan dalam pengurusan diabetes dan meningkatkan pengawasan penyakit serta pelaporan kes-kes baharu. – Bernama, 15 November, 2023.
Komen