SATU kumpulan pendesak Islam menuntut kerajaan membatalkan konsert kumpulan muzik Coldplay yang bakal berlangsung minggu depan bagi menghormati bencana menimpa Palestin.
Laporan Utusan Malaysia menyebut, desakan disuarakan Majlis Ulama Ikatan Muslimin Malaysia (Muis) yang merupakan satu badan bawah Ikatan Muslimin Malaysia (Isma).
Pengerusi badan itu Zamri Hashim dilaporkan mendakwa penganjuran konsert itu tidak patut berlangsung ketika puluhan ribu saudara Islam maut di tangan rejim Zionis.
“Penganjuran konsert yang dibawa khas daripada luar ini pada waktu peperangan yang sedang berlaku di Gaza yang telah meragut ribuan nyawa umat Islam adalah sangat bertentangan dengan nilai agama dan persaudaraan sesama Islam.”
Zamri juga dilaporkan menyebut konsert itu perlu dibatalkan ekoran dakwaan bahawa kumpulan muzik menyokong arus songsang lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT).
Beliau yang juga timbalan mufti Perak turut meminta semua umat Islam tidak terlibat dengan penganjuran konsert tersebut.
Kumpulan Coldplay menyatakan pendirian menyokong Palestin secara terbuka sejak 2011 dengan menyiarkan lagu Freedom For Palestine di Facebook.
Laporan Washington Post pada masa itu menyebut, siaran tersebut bagaimanapun dipadamkan Facebook ekoran bantahan kumpulan pro-Israel.
Coldplay juga dilaporkan bekerjasama dengan satu kumpulan muzik Palestin, Le Trio Joubran bagi menghasilkan satu lagu bertajuk Arabesque pada 2011.
Ia dimuatkan dalam album kerjasama bertajuk Everyday Life yang dipromosi sebagai satu idea membawa keamanan di rantau bergolak itu.
Konsert Coldplay berkenaan dijadualkan berlangsung di Kuala Lumpur pada 22 November selepas acara sama di Jakarta.
Gesaan supaya membatalkan konsert Coldplay disuarakan pemimpin PAS sejak Mei lalu ketika penganjur mula membuka tempahan tiket.
Pemimpin PAS Nasrudin Hassan pada waktu itu mendakwa konsert tersebut sebagai satu kempen kerajaan memupuk budaya songsang dan hedonisme dalam negara. – 15 November, 2023.
Komen