Ahli Parlimen Labuan nafi wujud paksaan, ugut, sogokan sokong PM


Ahli Parlimen Labuan Dr Suhaili Abdul Rahman hari ini menafikan sekeras-kerasnya wujud paksaan, ugutan dan sogokan keatas empat ahli Parlimen Bersatu untuk menyokong Perdana Menteri Anwar Ibrahim. – Gambar fail The Malaysian Insight, 15 November, 2023.

AHLI Parlimen Labuan Dr Suhaili Abdul Rahman hari ini menafikan sekeras-kerasnya wujud paksaan, ugutan dan sogokan keatas empat Ahli Parlimen Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) untuk menyokong Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

Katanya dakwaan Ahli Parlimen Machang Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal kononnya terdapat seorang individu berpangkat Datuk menjadi dalang utama memujuk empat ahli Parlimen daripada Perikatan Nasional untuk beralih arah menyokong pimpinan perdana menteri adalah tidak benar.

“Membuat dakwaan empat ahli Parlimen Bersatu didatangi oleh seseorang individu dengan gelaran Datuk Botak yang kononnya memberikan tekanan seperti mengugut, menjanjikan projek-projek dan memberi habuan wang tunai untuk sokong perdana menteri terutamanya kepada diri saya - semua itu adalah tidak benar,” katanya dalam kenyataan kepada Bernama hari ini.

Dr Suhaili berkata sokongannya kepada perdana menteri demi memastikan kelangsungan rakyat di kawasan Parlimen Labuan.

“Saya ingin mengulangi sokongan saya kepada perdana menteri adalah sukarela dan tanpa sebarang desakan atau tekanan,” katanya.

Baru-baru ini Wan Ahmad Fayhsal menerusi satu sidang akhbar mengatakan ada seorang individu berpangkat Datuk menjadi dalang utama memujuk empat ahli Parlimen daripada Perikatan Nasional untuk beralih arah menyokong pimpinan perdana menteri.

Sebelum ini empat ahli Parlimen Bersatu mengisytihar menyokong Anwar iaitu Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar), Dr Suhaili (Labuan), Mohd Azizi Abu Naim (Gua Musang) dan Zahari Kechik (Jeli). – Bernama, 15 November, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen