Tentera Israel ceroboh hospital Al-Shifa


Orang ramai berdiri di luar wad kecemasan hospital Al-Shifa di Bandar Gaza ketika pertempuran berterusan antara Israel dan pejuang Hamas Palestin. – Gambar AFP, 15 November, 2023.

TENTERA Israel pada Rabu mengakui sedang menjalankan operasi di hospital terbesar di Gaza, menyasarkan pusat kawalan Hamas yang disyaki terletak di bawahnya.

Selepas amaran daripada Amerika Syarikat (AS) dan lain-lain agar hospital Al-Shifa mesti dilindungi, Pasukan Pertahanan Israel (IDF) berkata pada awal pagi yang mereka sudah memasuki perkarangan di Gaza.

“Berdasarkan maklumat risikan dan keperluan operasi, tentera IDF sedang menjalankan operasi yang tepat dan disasarkan terhadap Hamas di kawasan tertentu di Hospital Shifa,” kata tentera dalam satu kenyataan.

Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu menganggarkan sekurang-kurangnya 2,300 pesakit, kakitangan dan orang awam yang dipindahkan berada di dalam kemudahan itu, terperangkap dengan pertempuran sengit dan pengeboman udara selama beberapa hari.

Saksi menyifatkan keadaan di dalam sebagai mengerikan, dengan prosedur perubatan berlaku tanpa bius, keluarga kekurangan makanan atau air yang tinggal di koridor, dan bau busuk mayat yang mereput memenuhi udara.

“Terdapat mayat bersepah di kompleks hospital dan tiada lagi bekalan elektrik di bilik mayat,” kata pengarah hospital Mohammad Abu Salmiya.

“Kami dipaksa mengebumikan mereka dalam kubur besar,” tambahnya dan menganggarkan 179 mayat dikebumikan setakat ini, termasuk tujuh bayi baru lahir yang meninggal dunia apabila inkubator mereka terputus bekalan kuasa.

Sebelum serangan itu, Presiden AS Joe berharap agar tiada tindakan ganas yang dikaitkan dengan hospital.

“Hospital mesti dilindungi,” katanya.

Tetapi Israel berulang kali mendakwa tentera Hamas mempergunakan kemudahan itu yang dilindungi di bawah undang-undang antarabangsa, dakwaan yang disangkal oleh banyak peguam hak asasi manusia antarabangsa.

Mencuba untuk meminimumkan sebarang tindak balas terhadap operasi itu, IDF berkata ia sudah memberi notis 12 jam kepada pihak berkuasa di Gaza yang dikendalikan Hamas bahawa operasi ketenteraan di dalamnya mesti dihentikan.

“Malangnya, ia tidak berlaku,” kata kenyataan IDF dan sekali lagi menggesa anggota Hamas yang di hospital menyerah diri.

Tentera Israel juga menegaskan pasukan daratnya termasuk medik dan penutur bahasa Arab “yang menjalani latihan khusus untuk bersedia menghadapi persekitaran yang kompleks dan sensitif ini”.

“Tujuannya agar tiada bahaya terhadap orang awam yang digunakan oleh Hamas sebagai perisai manusia,” tambah tentera Israel.

Hamas menafikan sengaja menempatkan aset dan kakitangan separa tentera di hospital, sekolah dan bangunan awam lain.

White House pada Selasa berkata sumber perisikan AS menyokong dakwaan Israel yang Hamas mempunyai pusat operasi di bawah hospital.

Hamas dan satu lagi kumpulan pejuang Palestin, Jihad Islam, “mengendalikan pusat arahan dan kawalan dari Al-Shifa di Bandar Gaza”, jurucakap Majlis Keselamatan Negara John Kirby memberitahu pemberita.

“Mereka menyimpan senjata di sana dan bersedia untuk bertindak balas terhadap operasi tentera Israel terhadap kemudahan itu.” – AFP, 15 November, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen