Hujan lebat tambah sengsara penduduk Gaza


Hujan lebat di Gaza membangkitkan kebimbangan dan cabaran baharu bagi rakyat Palestin yang kebanyakannya kehilangan tempat tinggal dan ditempatkan di khemah sementara selepas dibom Israel selama beberapa minggu. – Gambar AFP, 15 November, 2023.

PEPERANGAN di Gaza menyebabkan hampir 1.6 juta orang kehilangan tempat tinggal, menurut agensi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk pelarian Palestin UNRWA, menyebabkan ratusan ribu tinggal di tempat perlindungan yang sempit dengan sedikit makanan dan air yang tidak mencukupi.

Tetapi pada Selasa, mereka dikejutkan dengan satu lagi malapetaka: hujan membasahi barangan mereka yang tidak seberapa dan ancaman kepada penyakit bawaan air.

“Kami benar-benar basah kuyup, semua pakaian basah kuyup, begitu juga dengan tilam dan selimut. Anjing pun tidak boleh hidup seperti ini,” kata Jueidi, yang menempatkan dirinya di halaman sekolah PBB di Rafah.

“Baju anak-anak saya basah kuyup dan saya tiada apa-apa untuk ditukar, nanti jatuh sakit,” kata Jueidi yang hanya memakai t-shirt nipis ketika cuaca berubah menjadi sejuk.

“Kami nak tidur mana? Sudah tiga hari kami tak makan apa-apa.”

“UNRWA memberi keluarga makanan dalam tin dan biskut, tetapi anak kami tidak kenyang, kami perlukan roti”, katanya.

PBB berkata setiap pusat perlindungan sekolahnya di selatan Gaza kini penuh dengan kira-kira 6,000 orang yang kehilangan tempat tinggal.

Pegawai PBB berkata 125 orang berkongsi setiap tandas di selatan yang terkepung, dengan lebih 700 berkongsi setiap pancuran air.

PBB juga memberi amaran tentang krisis taun yang akan datang berpunca daripada kekurangan bahan api, yang dikatakan akan menghentikan operasi bantuannya menjelang Rabu.

Air yang boleh diminum tidak lagi boleh dibawa masuk ke dalam lori, pam kumbahan tiada minyak, manakala hospital yang bergantung kepada generator mula ditutup.

“Dalam tempoh 48 jam akan datang, ia akan terhenti, tiada apa yang boleh kami lakukan,” kata ketua UNRWA di Gaza, Thomas White.

“Itulah realiti operasi bantuan yang mempunyai sumber terhad untuk berkhidmat kepada orang yang memerlukan.”

Hassan bimbang perkara buruk yang akan berlaku. “Kami tidak mempunyai pakaian musim sejuk kerana kami meninggalkan rumah tanpa apa-apa dan kini semua barang kami basah,” katanya.

“Dan ini hanya permulaan. Apa yang akan berlaku pada musim sejuk, apabila hujan masih turun? Anak-anak kami sudah lemah kerana mereka tidak cukup makan, ia akan menjadi dahsyat.”

Di sekelilingnya, walaupun terdapat risiko, beberapa orang cuba memanfaatkan hujan. Seorang lelaki mengumpul air yang mencurah keluar dari longkang.

Seorang lagi cuba menghalang titisan air yang jatuh ke atas seorang wanita yang membakar roti di atas api kayu kecil. – AFP, 15 November, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen