Farhash mahu lapor polis, nafi tuduhan Wan Fayhsal


Bekas pengerusi PKR Perak Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak menafikan beliau dalang yang memujuk ahli Parlimen pembangkang mengalih sokongan kepada Perdana Menteri Anwar Ibrahim. – Gambar fail The Malaysian Insight, 14 November, 2023.

BEKAS setiausaha politik Anwar Ibrahim, Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak menafikan beliau dalang yang memujuk ahli Parlimen pembangkang mengalih sokongan kepada perdana menteri seperti yang didakwa oleh Ketua Pemuda Bersatu Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal.

Dalam satu kenyataan hari ini, Farhash yang juga bekas pengerusi PKR Perak menyifatkan tuduhan Wan Ahmad Fayhsal itu sebagai fitnah dan tidak berasas.

Malah ia dibuat dengan niat jahat dan tanpa sebarang bukti, katanya.

“Wan Fayhsal melalui satu sidang media, telah mendakwa kononnya terdapat dua individu yang bertanggungjawab menarik sokongan beberapa wakil rakyat pembangkang kepada Perdana Menteri Anwar Ibrahim melalui sogokan dan/atau suapan dan/atau ugutan. 

“Menurut Wan Fayhsal, individu terbabit kononnya adalah seorang yang dikenali ‘Datuk Botak’ dan bekas setiausaha politik PMX (Anwar) iaitu saya. 

“Pertama sekali, saya dengan sekeras-kerasnya mengecam dan menafikan tuduhan-tuduhan fitnah yang tidak benar dan tidak berasas yang dilontarkan terhadap saya,” katanya.

Tambah beliau, tuduhan Wan Ahmad Fayhsal terhadapnya jelas menjadikan dirinya sebagai alat politik bagi menyebarkan khabar angin bagi kepentingan sendiri. 

“Saya sudah lama tidak terlibat dengan kancah politik, dan kini hanya menjalankan kehidupan sebagai ahli perniagaan.

“Saya tidak faham mengapa saudara Wan Fayhsal telah melontarkan fitnah sedemikian terhadap saya dengan niat untuk menjatuhkan reputasi dan kehormatan diri saya, demi kepentingan politik beliau.

“Disebabkan oleh kenyataan dan tuduhan fitnah yang dilontarkan terhadap saya, saya akan membuat laporan polis supaya siasatan dan tindakan lanjut diambil oleh pihak polis terhadapnya.

“Saya juga merizabkan hak saya untuk memfailkan tuntutan saman fitnah terhadap Wan Fayhsal,” kata Farhash.

Kenyataan itu dikeluarkan selepas Wan Ahmad Fayhsal mendakwa dua individu bertanggungjawab memujuk ahli Parlimen pembangkang untuk menyokong Anwar.

Dua individu berkenaan adalah “Datuk Botak” dan Farhash, kata ahli Parlimen Machang itu pada sidang media di Parlimen hari ini.

Wan Fayhsal mendakwa rakaman video di Facebook dan TikTok membuktikan ada usaha menarik sokongan ahli Parlimen pembangkang mengalih sokongan kepada Anwar.

“Video tersebut menjelaskan peranan bekas setiausaha politik perdana menteri iaitu Farhash dalam perkara ini.

“Terdapat juga satu video menunjukkan identiti seorang ‘Datuk Botak’ yang memainkan peranan untuk menyogok dan mengugut ahli Parlimen pembangkang untuk menyokong perdana menteri,” katanya.

Minggu lepas empat ahli Parlimen Bersatu isytihar sokongan kepimpinan Anwar tetapi berkata mereka tetap setia kepada Bersatu.

Mereka ialah Ahli Parlimen Jeli Zahari Kechik, Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar), Suhaili Abdul Rahman (Labuan) dan Mohd Azizi Abu Naim (Gua Musang).

Bersatu menggantung keahlian dan semua jawatan Iskandar Dzulkarnain selama empat tahun manakala Suhaili enam tahun susulan tindakan mereka itu.

Jumaat lepas, Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin dalam satu sidang media berkata Lembaga Disiplin parti itu akan bersidang dalam masa terdekat untuk menentukan hukuman terhadap Mohd Azizi dan Zahari. – 14 November, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen