3 lelaki terlibat kes samun ditahan 


POLIS berjaya menahan tiga lelaki dipercayai terlibat dalam kes samun dalam tempoh kurang lima jam selepas seorang daripada mereka meragut seorang wanita di parkir kereta di Jalan Melaka Raya di Melaka semalam.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah ACP Christopher Patit berkata ketiga-tiga lelaki berusia 27, 28 dan 30 tahun itu ditahan di sebuah rumah di Taman Seri Tanjung selepas pergelutan antara polis dan kumpulan penjenayah berkenaan pada 9.40 malam tadi.

Beliau berkata dalam kejadian pada 5 petang semalam, seorang wanita berusia 19 tahun bersama ibunya sedang menuju ke arah tempat letak kereta sebelum didatangi seorang lelaki menaiki motosikal dari arah belakang dan meragut beg bimbitnya yang berisi komputer riba, Ipad dan beg duit.

“Mangsa dan ibunya bagaimanapun tidak mengalami sebarang kecederaan manakala suspek berjaya meloloskan diri,” katanya dalam kenyataan di Melaka hari ini.

Beliau berkata siasatan awal mendapati suspek berusia 30 tahun yang meragut wanita itu merupakan penjenayah tegar dan baharu keluar penjara pada 30 Oktober lepas kerana terlibat dengan penyalahgunaan dadah.

Ketiga-tiga yang ditahan mengaku terlibat dalam dua kes samun pada hari sama dan kes disiasat di bawah Seksyen 395 Kanun Keseksaan. – Bernama, 14 November, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen