Mahkamah arah DBKL bayar pampasan RM1.5 juta kerana ceroboh tanah


SEORANG lelaki berusia 71 tahun dianugerahkan RM1.15 juta selepas Mahkamah Tinggi memutuskan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menceroboh tanah miliknya untuk membina saliran longkang monsun - menamatkan perjuangan undang-undang selama 15 tahun.

Sejak 2005, RR Meyyanathan pemilik tanah seluas 17,847 kaki persegi (kira-kira empat gelanggang bola keranjang) berhampiran Petaling dan berhasrat untuk membina beberapa banglo di atasnya.

Beliau berhujah saliran longkang monsun yang melibatkan 2,411 kaki persegi tanahnya dibina oleh defendan (DBKL) tanpa kebenarannya, menjejaskan hak undang-undang untuk menikmati tanah miliknya.

Menurut The New Straits Times, Meyyanathan berulang kali meminta DBKL memindahkan struktur itu kerana beliau mengalami kerugian dan kerosakan akibat kerja penyelenggaraan dan pembaikan pada saliran longkang monsun, tetapi permintaannya tidak diendahkan.

Meyyanathan berkata DBKL mengambil sebahagian tanahnya untuk tujuan dan kegunaan tanpa pampasan yang membawa maksud kepada pelucutanhak hartanahnya tanpa mengikut undang-undang.

DBKL menafikan ia menceroboh tanah Meyyanathan dan struktur di tanah itu bukanlah satu bentuk pencerobohan.

DBKL juga mendakwa longkang monsun adalah sebahagian daripada saliran dan aliran semula jadi yang wujud di tanah itu pada 2004 atau lebih awal lagi.

Hakim Roz Mawar Rozain dalam penghakimannya bulan lepas berkata ia boleh disimpulkan dengan pasti yang lokasi longkang itu berada di atas tanah plaintif, dan beliau tidak bersetuju dengan perkara ini.

Roz Mawar berkata DBKL tidak dapat mengemukakan sebarang dokumen atau rekod menunjukkan longkang monsun dibina sebelum 2004.

“Mahkamah memberikan ganti rugi kepada plaintif pada kadar RM200 sehari mulai 8 Januari 2008, sehingga tarikh penghakiman ini bagi ganti rugi. Itu akan berjumlah RM200 didarab dengan 5,757 hari iaitu berjumlah RM1,151,400,” katanya.

Beliau juga memerintahkan kos RM45,000 dibayar oleh defendan kepada plaintif.

“DBKL boleh mengelak prosiding undang-undang ini jika ia berbincang dengan Meyyanathan sebelum saman ini,” tambahnya. – 14 November, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen