Tiada laporan ahli Parlimen dipaksa sokong PM, kata Saifuddin


Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution berkata sehingga pagi ini polis mahupun SPRM tidak menerima sebarang aduan berhubung adanya hasutan untuk ahli Parlimen pembangkang menyokong Perdana Menteri Anwar Ibrahim. – Gambar fail The Malaysian Insight, 14 November 2023.

PIHAK berkuasa tidak menerima sebarang laporan mengenai ahli Parlimen pembangkang disogok atau diugut untuk menyokong perdana menteri, kata Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution kepada Parlimen hari ini.

Beliau memberitahu Dewan Rakyat polis mahupun Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tidak menerima sebarang aduan berhubung perkara itu.

“Setakat pagi ini ketika pegawai sedang menyediakan jawapan (Parlimen), tiada aduan difailkan berhubung dakwaan unsur-unsur hasutan, rasuah dan ugutan berikutan ahli Parlimen pembangkang menyokong Tambun (Anwar),” katanya semasa sesi soal jawab.

Saifuddin berkata perbuatan yang bertentangan dengan undang-undang akan disiasat.

“Namun jika unsur yang didakwa itu tidak wujud ia boleh menjadi fitnah (terhadap) kerajaan.

“Agensi penguatkuasa akan (bertindak secara profesional) dalam menangani sebarang kemungkinan,” katanya menjawab soalan tambahan Onn.

Beliau menjawab soalan Onn Abu Bakar (PH- Batu Pahat) yang ingin tahu berapa banyak laporan yang diterima pihak berkuasa mengenai dakwaan unsur-unsur hasutan, rasuah dan paksaan untuk beberapa ahli Parlimen Pembangkang menyokong perdana menteri.

Bagaimanapun Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal (PN-Machang) menyangkal dakwaan Saifuddin tiada laporan dibuat dan mengisytiharkan sayap pemuda Bersatu atau Armada membuat laporan sedemikian pada tengah malam.

“Saya ingin membetulkan menteri. Armada sebenarnya membuat laporan polis pada tengah malam. Adakah ini (dakwaan) hanya khabar angin atau fitnah? Tidak.

“Laporan juga akan dibuat kepada SPRM,” katanya.

Saifuddin menjawab pihak berkuasa akan menyiasat laporan tersebut.

“Saya ingin mengucapkan tahniah kepada Machang dan Armada kerana bekerja sehingga larut malam. Hakikat bahawa laporan itu diterima polis menunjukkan penguatkuasaan (undang-undang) bersikap profesional,” katanya. – 14 November 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen