Mahkamah Persekutuan dengar permohonan semakan hukuman mati


Noel Achariam

MAHKAMAH Persekutuan hari ini akan mendengar permohonan semakan semula hukuman mati oleh banduan buat pertama kali sejak Akta Pemansuhan Hukuman Mati Mandatori 2023 (Akta 846) berkuat kuasa pada Julai.

Peguam Khaizan Sharizad Ab Razak dan Rashid Ismail akan mewakili 124 banduan yang menerima hukuman mati mandatori.

Khaizan berkata panel lima hakim dijangka mendengar kes tersebut.

“Hari ini kami mewakili dua anak guam dan pada Khamis, tiga lagi.

“Ini adalah kumpulan pertama untuk pendengaran daripada 124 anak guam yang kami wakili.

“Sebahagian besar kes adalah berkaitan dadah, serta pembunuhan,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Khaizan berkata beliau dan Rashid sudah memfailkan hujahan bertulis dan afidavit tambahan bagi kes yang ditetapkan hari ini dan Khamis bagi pihak banduan dan keluarga mereka.

“Timbalan pendakwa raya juga akan hadir untuk mendengar hujahan kami dan membentangkan pendirian mereka.”

Akta Pemansuhan Hukuman Mati Mandatori 2023 (Akta 846) berkuat kuasa pada 4 Julai dan Akta Semakan Hukuman Mati dan Pemenjaraan Sepanjang Hayat (Bidang Kuasa Sementara Mahkamah Persekutuan) 2023 (Akta 847), berkuat kuasa pada 12 September.

Di bawah akta itu, mahkamah kini mempunyai budi bicara untuk menjatuhkan hukuman mati atau penjara selama tempoh tidak kurang 30 tahun tetapi tidak melebihi 40 tahun, dan jika tidak dijatuhkan hukuman mati, hendaklah juga dihukum rotan tidak kurang 12 sebatan.

Khaizan berkata terdapat kira-kira 1,280 banduan sedang menunggu untuk menjalankan hukuman mati dan daripada itu 1,080 layak bagi semakan hukuman.

“Kebanyakan banduan memfailkan notis usul dan afidavit kepada Mahkamah Persekutuan untuk permohonan hukuman semula.

“Mereka diberi tempoh tiga bulan dari tarikh akta hukuman semula dikuatkuasakan pada 4 Julai untuk memfailkan permohonan.”

Khaizan berkata kumpulan masyarakat sivil Anti-Death Penalty Asia Network dan Pertubuhan Kebajikan Keluarga Kasih bekerjasama rapat dengan anak guam mereka.

“Mereka menyokong pemansuhan hukuman mati, memberikan sokongan kepada keluarga banduan.”

Beliau berkata sebanyak 118 kes dirujuk kepada mereka oleh dua kumpulan masyarakat sivil manakala selebihnya adalah anak guam sedia ada.

Khaizan juga berkata hanya kes yang dibawa kepada mereka oleh kumpulan itu dikendalikan secara pro bono, dan terdapat juga peguam lain yang bekerja bersamanya dan Rashid dalam 124 kes itu. – 14 November 2023.

ReplyForward



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen