Rakyat Malaysia digesa boikot jenama, syarikat berkaitan Israel


Alfian Z.M. Tahir

Peniaga tempatan turut menyatakan solidariti terhadap Palestin dengan menghentikan penggunaan produk berkaitan Israel. – Gambar Facebook, 14 November, 2023.

RAKYAT Malaysia harus memboikot syarikat atau jenama dikaitkan dengan Israel yang jelas terlibat dalam pencabulan hak asasi manusia di Gaza sekarang, kata Boycott Divestment and Sanction (BDS) Malaysia.

Pengerusinya Nazari Ismail berkata syarikat yang terjejas dek gerakan boikot yang sedang berlaku di seluruh dunia perlu memikirkan langkah untuk menangani cabaran itu.

BDS ialah gerakan pro-Palestin untuk kebebasan, keadilan dan kesaksamaan. Ia berpegang kepada prinsip mudah iaitu rakyat Palestin berhak mendapat hak yang sama seperti manusia lain.

Diilhamkan oleh gerakan antiaparteid Afrika Selatan, BDS menggesa tindakan untuk menekan Israel supaya mematuhi undang-undang antarabangsa.

“Sebagai contoh, syarikat seperti itu boleh menjernihkan imej negatif mereka dengan mengutuk secara terbuka pembunuhan beramai-ramai yang dilakukan Israel terhadap rakyat Palestin. Malangnya, sesetengah (syarikat) enggan berbuat demikian.

“Akibatnya, ramai pengguna Malaysia terus menganggap mereka negatif. Syarikat-syarikat ini tidak sepatutnya merungut jika mereka mengalami kerugian dan menyebabkan pekerja mereka kehilangan pekerjaan,” kata bekas profesor ekonomi itu.

Bekas dekan pengajian perniagaan antarabangsa di Universiti Malaya itu mengingatkan bagaimana usaha boikot antarabangsa memainkan peranan penting dalam menjatuhkan rejim aparteid di Afrika Selatan.

“Israel kini melakukan jenayah aparteid dan pembunuhan beramai-ramai terhadap rakyat Palestin. Memboikot Israel adalah jalan tanpa kekerasan yang boleh diikuti oleh masyarakat antarabangsa untuk membantu rakyat Palestin mencapai kebebasan mereka,” katanya.

“Kami menyeru pengasingan secara menyeluruh Israel hingga mereka memenuhi tiga tuntutan – untuk menamatkan pendudukannya dan penjajahan semua tanah Arab dan merobohkan tembok; mengiktiraf hak asasi rakyat Arab-Palestin terhadap kesaksamaan; dan menghormati, melindungi dan mempromosi hak pelarian Palestin untuk pulang ke rumah dan harta mereka seperti yang ditetapkan dalam Resolusi PBB 194.”

Antara poster yangdikongsi BDS Malaysia di Facebook mereka. – Gambar Facebook, 14 November, 2023.

Mengenai boikot yang mungkin merugikan pekerja tempatan, Nazari berkata pengguna berhak memilih apa yang hendak dibeli dan apa yang perlu dielakkan berdasarkan cita rasa peribadi, nilai moral dan emosi.

“Pasukan pengurusan syarikat mesti merancang strategi dan tindakan yang sesuai untuk memastikan ia selaras dengan cita rasa, nilai moral dan emosi pengguna.

“Pada masa ini, ramai pengguna Malaysia meluat dengan pembunuhan beramai-ramai yang berlaku di Gaza. Malangnya, sesetengah yarikat dilihat oleh pengguna mempunyai kaitan secara langsung atau tidak langsung dengan pembunuhan beramai-ramai,” tambahnya.

Senada dengannya, Pengerusi Persatuan Pengguna Pulau Pinang Mohideen Abdul Kader berkata pekerja yang terjejas akibat boikot itu boleh mencari peluang pekerjaan lain.

“Jika dibandingkan dengan kehilangan nyawa di Palestin – pembunuhan kanak-kanak, wanita dan orang tua yang tidak berdosa – kehilangan pekerjaan bukanlah apa-apa. Kita sentiasa boleh mencari peluang lain.

“Kita harus menyokong gesaan untuk memboikot barangan berkaitan Israel. Itu sahaja yang boleh kita lakukan. Bolehkah kita mengangkat senjata dan melawan? Pasti tidak. Jadi jika kita menyokong rakyat Palestin, kita harus peduli dengan seruan boikot itu,” katanya.

Poster boikot yang dikongsi BDS di Facebook. – Gambar Facebook, 14 November, 2023.

Jangan pecat pekerja jika syarikat diboikot

Sementara itu, Setiausaha Agung Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia Kamarul Baharin berkata jika syarikat itu diboikot kerana ada kaitan dengan Israel, ia tidak sepatutnya memberhentikan pekerja sebagai alasan.

Beliau berkata syarikat itu harus memikul tanggungjawab dan menanggung kerugian.

“Jika anda fikirkan, kesan Covid-19 lebih besar tetapi banyak syarikat terselamat. Boikot ini bukan wabak di seluruh dunia. Jadi saya tidak nampak mengapa mereka perlu memberhentikan pekerja.

“Mereka harus tanggung kerugian dan jika perlu ubah dasar untuk mematuhi keperluan hak asasi manusia,” katanya.

Kamarul juga sependapat iaitu pengguna mempunyai hak untuk memilih sesuatu produk.

Ketika ditanya sama ada beliau menerima aduan pekerja diberhentikan kerana gerakan boikot itu, Kamarul akui ada laporan diterima.

“Saya tidak pasti keberkesanan boikot itu dan kami tidak mempunyai data. Tetapi kami mendapat aduan individu diberhentikan kerja kerana kempen boikot,” katanya.

Serangan di Gaza sejak sebulan lalu mengorbankan lebih 11,000 nyawa rakyat Palestin, majoritinya orang awam, terutamanya wanita dan kanak-kanak.

Israel menduduki wilayah Palestin secara haram - merangkumi Semenanjung Gaza dan Tebing Barat, termasuk Baitulmaqdis Timur sejak 1967. – 14 November, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen