Pertumbuhan APEC 2023 dijangka 3.3%


PERTUMBUHAN ekonomi di rantau Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) yang merangkumi 21 anggota menunjukkan tanda bertambah baik dengan unjuran pertumbuhan 3.3% tahun ini berbanding 2.6% pada 2022.

Menurut laporan terkini APEC Regional Trend Analysis (Analisis Trend Serantau APEC), pemulihan pelancongan dan penggunaan domestik sedang memacu kegiatan ekonomi.

Bagaimanapun, kesan buruk akibat pandemik, inflasi, hutang yang lebih tinggi, perubahan iklim, perlindungan perdagangan, ketegangan geopolitik dan pemisahan ekonomi terus menyuramkan unjuran, jelas laporan itu yang dikeluarkan oleh Unit Sokongan Dasar APEC hari ini menjelang minggu pemimpin ekonomi APEC.

Pengarah unit itu, Carlos Kuriyama berkata terdapat tanda positif dalam APEC namun hal itu sedang menangani tempoh sukar dalam keadaan risiko negatif.

“Pertumbuhan ekonomi di rantau ini masih tidak sekata walaupun kita berharap kepada pertumbuhan ekonomi yang lebih stabil bagi tahun mendatang,” katanya.

Inflasi susut kepada 3.4% pada September 2023, berbanding kadar 6.6% yang direkodkan pada tempoh sama tahun lalu, menurut laporan itu.

Laporan itu menjelaskan peningkatan dalam beberapa bulan kebelakangan ini dan memberi amaran inflasi mungkin memburukkan ekonomi rantau ini terutama apabila sekatan eksport, isu membabitkan rantaian bekalan baja dan keadaan cuaca menjejaskan beberapa produk pertanian.

Ekonomi APEC ketatkan dasar monetari tangani inflasi

Penganalisis Unit Sokongan Dasar dan pengarang bersama laporan itu, Rhea C Hernando berkata, untuk berjuang melawan inflasi, banyak ekonomi APEC mengetatkan dasar monetari dengan menaikkan kadar faedah.

Laporan itu menekankan kepentingan komunikasi yang jelas daripada penggubal dasar apabila membabitkan keputusan monetari untuk menguruskan jangkaan.

Kerajaan perlu mengekalkan kehematan fiskal dengan perbelanjaan bersasar untuk melindungi populasi rentan dan membina semula penampan fiskal, menurut laporan itu.

Beliau berkata inflasi yang tinggi bukan hanya menyebabkan kos sara hidup lebih tinggi malah juga membawa kepada peningkatan kadar faedah dan menambah ketidaktentuan, yang memberi kesan kepada pelaburan dan penggunaan serta kemampanan hutang.

“Ini seterusnya boleh melemahkan pemulihan ekonomi pascapandemik,” jelas Hernando.

Kesan daripada persekitaran monetari yang lebih ketat di seluruh rantau ini, perdagangan mengalami penguncupan pada separuh pertama 2023, dengan volum dan nilai eksport masing-masing merosot kepada -3.5% dan -7.1%.

Tekanan inflasi dan kos pembiayaan perdagangan yang lebih tinggi ditambah dengan ketidaktentuan global mengakibatkan perdagangan lembap di rantau ini.

“Eksport dan import perdagangan barangan dijangka meningkat sedikit masing-masing sebanyak 0.1% dan 0.3% pada 2023 dengan unjuran pertumbuhan yang lebih optimistik untuk perdagangan barangan pada 2024 dan 2025 pada 4.3% hingga 4.4%,” kata penyelidik unit dan pengarang bersama laporan itu, Glacer Nino A Vasquez.

Laporan itu turut menjelaskan masa depan perdagangan dalam APEC dikaburkan oleh pemecahan geoekonomi dan pertambahan langkah sekatan perdagangan, termasuk remedi perdagangan.

Peralihan demografi juga akan menimbulkan cabaran kepada ekonomi rantau ini kerana populasi semakin tua dan kadar kelahiran semakin menurun.

Ini bermakna golongan pekerja perlu menghadapi beban yang lebih besar dalam menyokong populasi yang semakin menua.

“Penyelarasan berbilang hala kekal penting untuk menangani perlindungan perdagangan, peningkatan hutang, perubahan iklim, peralihan ekonomi hijau dan gangguan rantaian bekalan.

“Kerjasama juga penting untuk menangani cabaran kompleks yang dihadapi rantau APEC,” kata Kuriyama. – Bernama, 13 November, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen