Anwar gagal buktikan ketika krisis kewangan Asia, kata Dr Mahathir


Alfian Z.M. Tahir

Krisis kewangan 1997 adalah pemangkin yang menyebabkan hubungan tegang antara Dr Mahathir Mohamad (kanan) dan Anwar Ibrahim. – Gambar fail The Malaysian Insight, 13 November, 2023.

ANWAR Ibrahim tidak mampu menangani krisis kewangan Asia pada 1997 apabila beliau diberi peluang, kata Dr Mahathir Mohamad.

Bercakap dalam podcast ‘Keluar Sekejap’ dihoskan oleh Khairy Jamaluddin dan Shahril Hamdan, Dr Mahathir berkata Anwar mengikut nasihat Bank Dunia dan Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) ketika ketiadaannya.

Beliau berkata, beliau terpaksa memendekkan percutiannya dan kembali ke pejabat sebelum membentuk satu jawatankuasa bebas disertai pakar ekonomi, peguam dan pembiaya.

“Saya dapati apabila saya memberinya peluang beliau tidak boleh menanganinya. Beliau tidak memahami masalah. Bagaimana anda boleh menyelesaikan masalah apabila anda tidak faham isunya?

“Anwar adalah pemangku perdana menteri kerana saya bercuti dan apa yang dilakukannya, beliau menuruti nasihat IMF dan Bank Dunia.

“Saya membentuk jawatankuasa itu kerana kita tidak mempunyai pakar dalam Kabinet dan saya membawanya bersama tetapi beliau masih mahu mendengar nasihat IMF dan Bank Dunia.

“Saya beritahunya, jika kita mengikut IMF atau Bank Dunia, kami tidak mempunyai wang untuk membayar gaji.”

Krisis kewangan 1997 adalah pemangkin yang menyebabkan hubungan tegang antara Dr Mahathir dan Anwar.

Akhirnya, Anwar dipecat daripada Kabinet dan didakwa dengan homoseksual dan rasuah.

Dakwaan dan penahanan Anwar menyebabkan protes di seluruh negara yang kini dikenali sebagai pergerakan Reformasi. – 13 November, 2023.

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen