Cina, India enggan asimilasi dengan masyarakat Melayu, kata Dr Mahathir


Alfian Z.M. Tahir

Dr Mahathir Mohamad ketika ditemubual dalam podcast 'Keluar Sekejap' kendalian Khairy Jamaluddin dan Shahril Hamdan. – Gambar tangkap layar YouTube, 13 November, 2023.

MALAYSIA hanya boleh mencapai konsep Bangsa Malaysia jika orang bukan Melayu mengasimilasikan diri dengan masyarakat Melayu, kata bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad.

Bercakap dalam podcast ‘Keluar Sekejap’ yang dihoskan oleh Khairy Jamaluddin dan Shahril Hamdan, Dr Mahathir berkata kerana keengganan orang Cina dan India untuk berasimilasi, Malaysia tidak dapat mencapai apa yang dicapai oleh negara jiran Indonesia dari segi perpaduan negara.

“Pendatang dahulu, khususnya semasa Malaysia selepas merdeka, mahukan integrasi dan bukannya asimilasi kerana mereka mahu mengekalkan budaya mereka dari negara asal mereka,” katanya.

“Apabila pendatang ingin mengekalkan identiti mereka dan mempertikaikan pemilikan negara ini untuk menjadi bukan negara Melayu tetapi negara berbilang budaya, itu bermakna kita kehilangan negara kita,” katanya.

Bagaimanapun, orang Arab dan Pakistan berasimilasi dengan baik dalam masyarakat Melayu dan akibatnya mereka dianggap sebagai orang Melayu, katanya.

“Di Indonesia, saya terkejut mendengar seseorang bercakap seolah-olah mereka orang Indonesia tetapi apabila anda berpaling, orang itu adalah orang Cina. Mereka memeluk budaya di sana tetapi tidak di sini, di Malaysia.”

“Di sini kita memanggil orang Cina sebagai Cina Malaysia, tetapi tidak ada perkara seperti itu di Indonesia. Mereka tidak merujuk diri mereka sebagai Cina Indonesia.”

Namun di Malaysia, orang Cina dan India mahu mengekalkan budaya, bahasa yang berbeza dan mengasingkan diri daripada penduduk tempatan, kata bekas perdana menteri itu.

Khairy dan Shahril menubuhkan saluran perbualan Keluar Sekejap selepas tewas dalam pilihan raya umum ke-15 yang berlangsung setahun lalu.

Khairy yang masih menyandang jawatan menteri kesihatan pada waktu itu gagal merebut kerusi Sungai Buloh apabila dipindahkan dari kerusi Rembau yang dipegangnya selama tiga penggal.

Shahril pula yang menjadi penasihat ekonomi kepada perdana menteri waktu itu, Ismail Sabri Yaakob juga gagal merampas kerusi Shah Alam dalam saingan itu.

Tetamu mereka, Dr Mahathir juga tewas dalam pilihan raya itu dan turut hilang wang pertaruhan ketika bertanding sebagai calon parti Pejuang.

Nasib sama menimpa seluruh calon Pejuang, parti yang ditubuhkannya selepas tersingkir dari Bersatu. – 13 November, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen