Saya memang nak bagi Anwar jadi PM, kata Dr Mahathir


Alfian Z.M. Tahir

Anwar Ibrahim dan Dr Mahathir Mohamad pernah bersama-sama dalam Pakatan Harapan sebelum kerajaan itu tumbang disebabkan Langkah Sheraton. – Gambar fail The Malaysian Insight, 13 November, 2023.

DR Mahathir Mohamad hari ini berkata beliau bersedia melunaskan janjinya dan menyerahkan jawatan perdana menteri kepada Anwar Ibrahim tetapi rancangannya terbantut disebabkan Langkah Sheraton.

Bekas perdana menteri berusia 98 tahun itu mendedahkan perkara berkenaan dalam podcast “Keluar Sekejap” yang disiarkan hari.

“Apabila saya bersama dengan DAP, Amanah dan Keadilan (PKR), mereka pilih saya sebagai calon untuk jadi perdana menteri, tetapi mereka juga tentukan saya menjadi perdana menteri untuk memberi peluang kepada Anwar jadi perdana menteri, dan saya terima.

“Dengan syarat saya jadi perdana menteri sekian lama, lepas itu diserah kepada Anwar.

“Dan saya nak tunaikan, janji saya pegang, tetapi apa yang berlaku adalah Langkah Sheraton, parti kerajaan iaitu Pakatan Harapan sudah hilang kedudukan (untuk menjadi kerajaan),” katanya.

Beliau turut menjelaskan disebabkan situasi itu, Anwar tidak lagi boleh menjadi perdana menteri disebabkan PH sudah hilang majoriti.

Dr Mahathir berkata demikian apabila ditanya Khairy Jamaluddin dan Shahril Hamdan, pengacara podcast “Keluar Sekejap”, adakah beliau berhasrat menyerahkan jawatan PM kepada Anwar ketika mereka bersama-sama dalam Pakatan Harapan.

Anwar, 76, akhirnya menjadi perdana menteri ke-10 negara pada 2022 selepas mendapat sokongan majoriti ahli Parlimen.

Anwar berjaya meyakinkan pemimpin parti dari Umno termasuk dari Sabah dan Sarawak untuk membentuk kerajaan perpaduan.

Bagaimanapun, Dr Mahathir yang menjadi perdana menteri dua kali, tewas teruk di kerusi Langkawi termasuk kehilangan wang deposit kepada Mohd Suhaimi Abdullah dari Perikatan Nasional.

Dr Mahathir bertanding di bawah panji Pejuang, parti yang beliau tubuhkan selepas dipecat daripada Bersatu. – 13 November, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen