Lebih ramai ahli Parlimen Bersatu akan sokong Anwar, menurut laporan


Empat ahli Parlimen Bersatu sudah berikrar menyokong Anwar, Zahari Kechik (Jeli), Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar), Suhaili Abdul Rahman (Labuan) dan Mohd Azizi Abu Naim (Gua Musang). – Gambar fail The Malaysian Insight, 13 November, 2023.

AHLI Bersatu tidak lagi yakin parti itu boleh bertahan sehingga pilihan raya umum akan datang kerana lebih ramai ahli dijangka berikrar menyokong kerajaan perpaduan di bawah Perdana Menteri Anwar Ibrahim, lapor Berita Harian.

Sumber memberitahu akhbar harian Melayu itu lima lagi ahli Parlimen Bersatu akan mengisytiharkan sokongan mereka kepada Anwar tidak lama lagi.

“Semuanya bergantung kepada peranan yang dimainkan oleh mereka yang memujuk untuk meyakinkan mereka supaya menyokong kerajaan,” kata sumber.

Seorang pemimpin kanan yang tidak mahu namanya didedahkan mendakwa keadaan ini bermula berikutan siasatan dan pertuduhan terhadap beberapa pemimpin parti yang dikaitkan dengan kes pengubahan wang haram Jana Wibawa.

“Mereka tidak yakin Bersatu boleh bangkit semula daripada kesan pertuduhan untuk kes sebesar Jana Wibawa dan mungkin, Bersatu tidak akan bertahan sehingga pilihan raya umum akan datang.”

Selain ahli Parlimen, sumber berkata, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun), ketua bahagian dan mereka yang memegang jawatan dalam sayap parti juga sedang menunggu masa sesuai untuk mengisytiharkan sokongan terhadap kerajaan.

Minggu lalu, empat ahli Parlimen Bersatu berikrar menyokong Anwar, tetapi berkata mereka tetap setia kepada Bersatu. Mereka adalah ahli Parlimen Jeli Zahari Kechik, Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar), Suhaili Abdul Rahman (Labuan) dan Mohd Azizi Abu Naim (Gua Musang).

Bersatu menggantung keahlian Iskandar selama empat tahun dan Suhaili selama enam tahun. Tindakan terhadap dua orang lagi masih belum diumumkan.

Pada Khamis, ahli Parlimen Bukit Gantang, Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal, juga daripada Bersatu, berkata beliau akan menyokong Anwar.

Menurut sumber, lima ahli Parlimen itu boleh mempengaruhi rakan atau ahli parti mereka untuk cuba memulihkan keyakinan mereka.

“Ada maklumat jumlah ahli Parlimen Bersatu yang akan menyokong kerajaan adalah 11, tetapi saya yakin sembilan. Empat sudah mengumumkannya, tinggal lima lagi,” kata sumber itu. – 13 November, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen