RAKYAT Malaysia Nurul Ain Haron yang berada di kawasan konflik Gaza bersama suaminya warga Palestin, Mohamed Adan Shaat selamat dibawa keluar melalui lintasan sempadan Rafah pada Ahad (12 November) jam 8.23 malam waktu tempatan (2.23 pagi tadi waktu Malaysia).
Kementerian Luar dalam satu kenyataan memaklumkan sejurus selepas Nurul Ain dan suaminya tiba di lintasan sempadan Rafah, beliau dihubungi melalui panggilan video oleh Perdana Menteri Anwar Ibrahim dan Menteri Luar Dr Zambry Abdul Kadir untuk bertanya khabar.
Proses evakuasi itu dilaksanakan dengan berkesan berikutan pertemuan antara perdana menteri dengan Presiden Mesir Abdel Fattah al-Sisi, semasa lawatan kerja beliau ke Mesir pada 23 Oktober lalu, serta penyelarasan lanjut oleh Kedutaan Besar Malaysia di Kaherah dan Amman.
Kedutaan Besar Malaysia di Kaherah juga sedang menghulurkan bantuan konsular yang sewajarnya kepada mereka.
Kementerian Luar turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada Mesir, Qatar, Kedutaan Besar Republik Arab Mesir di Kuala Lumpur dan Kedutaan Besar Qatar di Kuala Lumpur atas jalinan kerjasama serta keutamaan yang diberikan kepada Malaysia dalam usaha menjalankan proses evakuasi rakyat Malaysia yang berada di kawasan konflik Gaza. – Bernama, 13 November, 2023.
Komen