KESATUAN Eropah (EU) pada Ahad mengecam Hamas kerana menggunakan “hospital dan orang awam sebagai perisai manusia” di Gaza, serta mendesak Israel menunjukkan “kekangan maksimum” bagi melindungi orang awam daripada kesan perang yang semakin tegang.
“EU sangat bimbang tentang krisis kemanusiaan yang semakin memburuk di Gaza,” kata Ketua Dasar Luar EU Josep Borrell dalam satu kenyataan.
Rayuan itu dibuat ketika fasiliti perubatan terbesar di Gaza, Hospital Al-Shifa, menjadi sasaran serangan berterusan Israel. Pegawai kesihatan Hamas berkata salah satu serang memusnahkan wad rawatan jantung pada Ahad.
Satu lagi fasiliti, Hospital Al-Quds, tidak lagi beroperasi kerana kekurangan tenaga, kata Bulan Sabit Merah Palestin.
Israel menafikan sengaja menyasarkan hospital. Ia menuduh Hamas menggunakan fasiliti atau terowong di bawahnya sebagai tempat persembunyian, yang dinafikan kumpulan itu.
“Perseteruan ini memberi kesan sangat buruk kepada hospital dan meningkatkan jumlah korban orang awam dan kakitangan perubatan,” kata kenyataan EU.
“EU menekankan undang-undang kemanusiaan antarabangsa yang menyatakan hospital, peralatan perubatan dan orang awam di dalam hospital perlu dilindungi.
“Hospital juga perlu diberikan bekalan peralatan perubatan segera dan pesakit yang memerlukan rawatan perubatan perlu dipindahkan dengan selamat. Dalam konteks ini, kami menggesa Israel untuk melaksanakan kekangan maksimum bagi memastikan perlindungan orang awam.”
“EU mengecam penggunaan hospital dan orang awam sebagai perisai manusia oleh Hamas,” kata kenyataan.
Ia turut mengulangi pendirian Brussel yang Israel “mempunyai hak mempertahankan dirinya selari dengan undang-undang antarabangsa dan undang-undang kemanusiaan antarabangsa”.
EU turut menggesa akses kemanusiaan segera dan “tanpa halangan” supaya ia boleh disalurkan kepada penduduk Gaza yang sudah lebih sebulan sengsara diserang, diusir dengan akses terhad kepada air, makanan, sumber tenaga dan perlindungan.
Ia turut menggesa Hamas membebaskan 240 tebusan yang ditangkapnya ketika serbuan pada 7 Oktober di komuniti Israel berhampiran Gaza, berkata sangat “penting” untuk Jawatankuasa Antarabangsa Palang Merah diberikan akses kepada tebusan.
“EU menyertai seruan untuk penangguhan serta merta perseteruan dan penubuhan koridor kemanusiaan,” katanya.
Konflik berdarah terburuk di Gaza berlaku selepas Hamas pada 7 Oktober lalu membunuh sekitar 1,200 orang, kebanyakannya orang awam, menurut kenyataan Israel.
Serangan berterusan dilakukan Israel sudah membunuh sekurang-kurangnya 11,800 orang, kebanyakannya orang awam termasuk 4,609 kanak-kanak, menurut pejabat media kerajaan Hamas. – AFP, 13 November, 2023.
Komen