Jerman umum bantuan kepada Ukraine tahun depan naik berganda


Jerman adalah penyokong kuat Ukraine sejak Rusia melancarkan pencerobohan besar-besaran pada Februari tahun lepas, memberikan 22 bilion euro dalam bentuk bantuan kemanusiaan, kewangan dan ketenteraan. – Gambar AFP, 13 November, 2023.

MENTERI pertahanan Jerman pada Ahad mengumumkan yang Berlin akan menggandakan bantuan ketenteraan pada 2024 kepada Ukraine, yang sedang bergelut melawan pencerobohan Rusia, kepada 8 bilion euro (AS8.5 bilion).

“Ini adalah petunjuk kuat kepada Ukraine, membuktikan yang kami tidak melupakan mereka” ketika perhatian antarabangsa kini tertumpu kepada perang Israel-Hamas, kata Boris Pistorius kepada saluran TV ARD.

Ukraine kerap meminta bantuan ketenteraan lebih besar daripada sekutu Baratnya tetapi serangan balas dilakukan tahun ini gagal mengusir tentera Rusia yang menceroboh kawasan selatan dan timur negara itu.

Pertambahan wang itu adalah berdasarkan pengalaman tahun ini “yang menunjukkan jumlah dirancang cepat habis”, kata Pistorius.

Kerajaan gabungan Canselor Olaf Scholz mencapai perjanjian untuk menggandakan bantuan awal, meliputi peralatan ketenteraan dan keputusan itu dijangka akan disahkan secara rasmi menerusi undi wakil rakyat.

Jerman adalah penyokong kuat Ukraine sejak Rusia melancarkan pencerobohan besar-besaran pada Februari tahun lepas, memberikan 22 bilion euro dalam bentuk bantuan kemanusiaan, kewangan dan ketenteraan.

Tetapi ia mengelak memberikan peluru berpandu jarak jauh Taurus yang diminta Kyiv, bimbang ia akan digunakan untuk menyerang wilayah Rusia. – AFP, 13 November, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen