CANSELOR Jerman Olaf Scholz membantah gencatan senjata serta-merta di semenanjung Gaza, ketika pelbagai pihak di seluruh dunia mendesak ia dihentikan susulan serangan berani pejuang Hamas terhadap Israel.
Israel bertubi-tubi menyerang wilayah Palestin di Gaza dan menghantar tentera melakukan serangan darat bagi menghapuskan kumpulan pejuang Islam itu, mencetuskan krisis kemanusiaan yang semakin meruncing.
“Saya tidak fikir gesaan gencatan senjata serta merta adalah tepat,” katanya dalam satu debat dianjurkan akhbar Heilbronner Stimme.
“Itu bermakna Israel akan memberikan Hamas kemungkinan untuk pulih dan mendapatkan senjata baharu,” katanya.
Pendirian Scholz itu bercanggah dengan kebanyakan negara Arab, Presiden Perancis Emmanuel Macron dan Presiden Turki Recep Tayyip Erdogan yang dijadualkan bertemu pemimpin Jerman itu di Berlin minggu depan.
Serangan berani Hamas menyebabkan 1,200 maut pada 7 Oktober, menurut angka rasmi Israel.
Tentera Israel menganggarkan 240 tebusan ditahan di Gaza ketika serangan pertama Hamas.
Manakala kempen perang dilancarkan Israel menyebabkan lebih 11,000 rakyat Palestin di Gaza terkorban, kebanyakan adalah orang awam dengan separuh daripadanya kanak-kanak. – AFP, 13 November, 2023.
Komen