SEKURANG-KURANGNYA 40 pekerja binaan terperangkap selepas terowong jalan yang sedang dalam pembinaan runtuh di utara India hari ini, dengan penyelamat bergegas mengeluarkan mereka di bawah timbunan serpihan runtuhan.
Runtuhan berlaku awal pagi ini di Uttarakhand, Himalaya ketika sekumpulan pekerja keluar dan pekerja gantian sedang masuk.
“Kira-kira 200 meter terowong runtuh,” kata Pegawai Respons Bencana Negeri di Himalaya, Durgesh Rathodi kepada AFP.
“Sekurang-kurangnya 40 hingga 41 pekerja terperangkap di dalam runtuhan. Oksigen sedang dibekalkan melalui serpihan, tetapi lebih banyak runtuhan jatuh ketika penyelamat cuba mengalihkan halangan itu.”
Terowong sepanjang 4.5 kilometer sedang dalam pembinaan antara Silkyara dan Dandalgaon untuk menghubungkan dua tempat suci penganut Hindu iaitu Uttarkashi dan Yamnotri.
Gambar-gambar yang dikeluarkan oleh pasukan penyelamat kerajaan menunjukkan longgokan konkrit yang besar menghalang terowong lebar, dengan logam berpintal pada bumbungnya yang pecah mencucuk di hadapan runtuhan.
“Berdoa kepada tuhan agar pekerja yang terperangkap di dalam terowong itu dibawa keluar dengan selamat,” tulis Ketua Menteri Uttarakhand Pushkar Singh Dhami di platform media sosial X.
Kemalangan di tapak pembinaan infrastruktur besar adalah perkara biasa di India. – AFP, 12 November, 2023.
Komen