Remaja lelaki pandu kereta dalam kemalangan maut dibebas dengan jaminan polis


Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah (SPT) ACP Tan Cheng San berkata pihaknya sedang melengkapkan kertas siasatan berhubung kemalangan maut di Kilometer 1.9 Jambatan Pulau Pinang awal pagi semalam.

REMAJA lelaki yang juga pemandu kereta dalam kemalangan membabitkan dua mangsa maut di Kilometer 1.9 Jambatan Pulau Pinang menuju arah Perai, di Bukit Mertajam, awal pagi semalam dibebaskan dengan jaminan polis hari ini.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah (SPT) ACP Tan Cheng San berkata remaja yang masih bersekolah dan tiada lesen memandu itu dibebaskan selepas reman sehari terhadapnya tamat.

“Pihak polis kini sedang melengkapkan kertas siasatan berhubung kemalangan membabitkan tiga buah kenderaan sehingga penunggang motosikal dan pemboncengnya meninggal dunia dalam kejadian tersebut.

“Kami juga telah mengeluarkan saman terhadap ibu remaja itu kerana cuai dengan membenarkan anaknya menggunakan kenderaannya tanpa lesen,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Dalam kemalangan kira-kira 2.30 pagi itu, seorang penunggang lelaki dan pemboncengnya seorang wanita, kedua-duanya berusia 20-an, maut selepas motosikal ditunggangi mereka dirempuh kereta Toyota Lexus dipandu remaja terbabit yang hilang kawalan setelah melanggar sebuah lori.

Remaja itu cedera ringan manakala pemandu lori tersebut tidak mengalami sebarang kecederaan.

Mengulas lanjut, Tan berkata polis telah menghantar sampel darah pemuda itu untuk ujian alkohol dan dadah, selain mendapatkan rakaman kamera litar tertutup di lokasi kejadian bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – Bernama, 12 November, 2023.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen