Tiada pegawai SPRM ditempatkan di Mitra, kata agensi


Noel Achariam

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berkata pegawainya juga tidak terlibat dalam mesyuarat atau dalam proses perolehan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 12 November, 2023.

SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menafikan dakwaan terdapat pegawainya ditempatkan di Unit Transformasi India Malaysia (Mitra).

Agensi antirasuah itu berkata pegawainya juga tidak terlibat dalam mesyuarat atau dalam proses perolehan.

“Ketika ini tiada pegawai SPRM yang ditempatkan di Mitra.

“Pegawai SPRM dilarang terlibat dalam mana-mana mesyuarat lembaga, jawatankuasa atau urus setia berkaitan perolehan di agensi luar,” kata SPRM dalam satu kenyataan.

Pada Jumaat, Pengerusi Jawatankuasa Pasukan Petugas Khas Mitra R. Ramanan berkata seorang pegawai SPRM akan terlibat dalam jawatankuasa unit itu bagi membantu memantau pengurusan dananya.

Beliau berkata ini bagi memastikan dana itu digunakan sepenuhnya dan diagihkan secara telus demi pembangunan masyarakat India.

“Saya berterima kasih kepada Azam Baki (ketua pesuruhjaya SPRM) kerana beliau memberi kami pegawainya yang akan turut hadir (semasa mesyuarat) dan akan membimbing kami untuk mengelakkan berlaku salah urus (dana),” katanya.

Ramanan mengulas kenyataan Azam pada Selasa bahawa siasatan SPRM terhadap penyelewengan dana Mitra selesai dan mereka yang terlibat sudah didakwa.

Azam dilaporkan membuat cadangan untuk mengukuhkan prosedur pengurusan Mitra.

Pada 2021, lebih 300 syarikat dan kumpulan masyarakat sivil dilaporkan disiasat berhubung dakwaan penyelewengan peruntukan geran bernilai RM203 juta yang dikeluarkan oleh Mitra sejak 2019.

SPRM berkata mereka menyelesaikan siasatan penyelewengan dana Mitra dari 2019 hingga 2021.

“Susulan itu, SPRM telah berjaya mendapat pendakwaan terhadap 12 kes dengan 10 kes masih dibicarakan di mahkamah manakala dua kes tertuduh mengaku salah.

“SPRM juga mengambil tindakan mengkaji tatakelola pengurusan dana Mitra untuk tujuan mengukuhkan tatacara dan ketelusan pengagihan dana Mitra kepada masyarakat India di negara ini.”

Agensi antirasuah itu juga berkata Mitra sudah menyerahkan Laporan Khidmat Nasihat Amalan, Sistem dan Tatacara Pengurusan Dana Untuk Pembangunan Sosioekonomi Masyarakat India kepada Kementerian Perpaduan Negara pada 22 Februari 2022.

“Ia sebagai langkah pencegahan untuk menutup sebarang ruang dan peluang rasuah, salah guna kuasa dan penyelewengan dana kerajaan.

Agensi antirasuah itu juga berkata Akta SPRM 2009 memperkasakan agensi itu bukan hanya untuk menyiasat rasuah, penyelewengan dan salah guna kuasa, malah tindakan pencegahan untuk memastikan kesalahan yang sama tidak berulang pada masa hadapan. – 12 November, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen