Protes jalanan bukan jawapan, kata kumpulan agama


Alfian Z.M. Tahir

Wakil rakyat Perikatan Nasional-PAS mahu melakukan protes jalanan membantah kes cabar keabsahan 20 peruntukan Enakmen Syariah Kelantan yang sedang dibicarakan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 12 November, 2023.

PROTES jalanan bukan jawapan kepada usaha wakil rakyat Perikatan Nasional (PN) dalam usaha mereka mencabar saman perundangan dibawakan oleh sebuah keluarga terhadap 20 peruntukan di dalam Enakmen Jenayah Syariah Kelantan, kata majlis perundingan agama.

Majlis Perundingan Agama Buddha, Kristian, Hindu, Sikh dan Tao Malaysia berkata PN termasuk kerajaan negeri Kelantan perlu memilih jalan perundangan dengan mempertahankan kes mereka di Mahkamah Persekutuan, menambah yang sebarang protes adalah tindakan menghina mahkamah.

“Cabaran kehakiman bagi menentukan keabsahan 20 peruntukan di dalam Enakmen Kerajaan Kelantan dilulusan Dewan Undang Negeri Kelantan adalah melalui kaedah berwajar dan sah bagi mendapatkan keputusan Mahkamah Persekutuan dalam isu itu,” kata kumpulan itu.

“Langkah wajar untuk defendan adalah mempertahankan kes mereka di Mahkamah Persekutuan menerusi peguam yang mereka lakukan sekarang.

“Dengan menjadi pihak dalam cabaran perundangan di hadapan Mahkamah Persekutuan ia boleh menjadi tindakan hina mahkamah dengan mengadakan demonstrasi awam terhadap plantif yang menggunakan hak mereka yang dijamin Perlembagaan.”

Pada Rabu, Timbalan Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man berkata PN akan mengadakan siri demonstrasi jalanan bagi membantah tindakan peguam Nik Elin Zurina Nik Abdul Rashid dan anak perempuannya yang memfailkan cabaran perlembagaan terhadap beberapa peruntukan di dalam Kod Jenayah Syariah Kelantan.

Tuan Ibrahim berkata protes itu akan diadakan di tiga tempat termasuk Terengganu (16 Nov), Kelantan (18 Nov) dan himpunan munajat di Istana Kehakiman, Putrajaya pada 20 Nov depan.

Tambahnya, beberapa kumpulan sivil turut menghantar memorandum menggesa kerajaan menubuhkan jawatankuasa khas bagi menyelesaikan krisis berkaitan kuasa diberikan kepada DUN bagi menggubal peruntukan berkaitan kesalahan jenayah Syariah orang Islam.

Sementara itu, bekas menteri undang-undang Zaid Ibrahim mengecam pemimpin PAS yang menyerang Nik Elin anaknya, Yasmin Nastasha Tengku Abdul Rahman yang memfailkan cabaran perundangan itu.

Menerusi satu hantaran di Facebook, Zaid berkata serangan dibuat PAS terhadap Nik Elin sangat tidak wajar.

“Seolah-olah mereka mahu menghukumnya tanpa bicara. Mereka dakwa dia cabar Islam dan doktrin Islam.

“Ketua hakim sudah menjelaskan yang cabaran perundangan bukanlah cabaran terhadap Islam.

“Tetapi pemimpin PAS masih kata ia cabar,” katanya.

Ahli Parlimen Kota Bharu Takiyuddin Hassan mendakwa yang enakmen syariah serupa di 14 negeri lain akan menjadi tidak sah sekiranya Mahkamah Persekutuan membenarkan cabaran perundangan di bawa Nik Elin dan anaknya, anak Kelantan itu.

Mahkamah tertinggi negara itu akan menyambung bicara terhadap saman difailkan anak beranak itu pada 20 Nov depan dan Zaid berkata Ketua Hakim Tengku Maimun Tuan Mat melantik panel Sembilan hakim disebabkan pertimbangan kepentingan kes terhadap kepentingan awam.

“Nik Elin juga sudah mengupah peguam perundangan yang dikatakan terbaik di negara ini. Semua orang mahu undang-undang ditentu sahkan secara betul,” tambah Zaid. – 12 November, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen